HANIS Farahana Mohamad Zaki cekal untuk aktif dalam APM biarpun diuji dengan kanser kolorektal tahap empat. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
HANIS Farahana Mohamad Zaki cekal untuk aktif dalam APM biarpun diuji dengan kanser kolorektal tahap empat. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: "Hari ini genap setahun saya disahkan menghidap kanser kolorektal tahap empat, namun semangat untuk terus berkhidmat pada masyarakat tidak pernah luntur," ujar Leftenan Muda (PA) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Hanis Farahana Mohamad Zaki, 27, yang menanam hasrat kembali bertugas di Pejabat Daerah Pertahanan Awam (PDPA) Alor Gajah, di sini.

Penuntut tahun akhir Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Chemical and Bioengineering Technology (UniKL MICET) di Alor Gajah itu kini bercuti setahun di kampungnya di Taiping, Perak untuk menerima rawatan.

Menurut Hanis, dia tidak menyangka menghidap kanser kolorektal atau kanser usus besar selepas mengalami simpton najis berdarah.

"Penyakit ini kejap ada, kejap tiada. Pada satu ketika tekanan darah dan berat badan saya turun mendadak.

"Saya kemudian balik ke kampung dan menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital sebelum disahkan menghidap kanser kolorektal tahap empat yang merebak ke hati dan paru-paru.

"Sehingga kini saya sudah menjalani rawatan kimoterapi sebanyak 10 kali selain pembedahan rektum dan Alhamdulillah, kanser di usus dan hati sudah sembuh," katanya.

Beliau sanggup datang dari kampung demi menerima pingat dan sijil disampaikan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra pada sambutan Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam (HUTPA) ke-70 di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini tadi.

"Sukar bagi saya untuk aktif bertugas buat sementara ini kerana kanser yang merebak di paru-paru. Ia membuatkan saya cepat letih selain terpaksa menggunakan beg najis untuk membuang air besar.

"Namun, semua ini tidak mematahkan semangat dan cinta saya terhadap APM," katanya.

Menurutnya, dia mula aktif dalam Kor Siswa-siswi Pertahanan Awam (SISPA) sejak 2013 dan kemudian ditauliahkan pangkat Leftenan Muda Universiti Sains Malaysia pada 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2022 @ 6:19 PM