KEGEMUKAN melampau boleh mengundang kanser kolorektar.
KEGEMUKAN melampau boleh mengundang kanser kolorektar.
KEDUDUKAN kanser dalam kolon.
KEDUDUKAN kanser dalam kolon.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan


Kanser kolon membabitkan bahagian sistem penghadaman iaitu usus besar manakala kanser rektal pula menjejaskan beberapa inci bahagian yang terletak pada hujung usus besar.

Apabila kedua-duanya terjejas disebabkan kanser, ia dikenali sebagai kanser kolorektal yang selalunya bermula dengan gumpalan kecil sel bukan kanser dikenali sebagai polips adenomatous di sepanjang bahagian dalam kolon.

Rupanya seakan-akan cendawan, leper atau berlekuk, melekat pada dinding kolon. Membuang polips sebelum ia bertukar menjadi kanser boleh mengelak seseorang mendapat kanser kolorektal.

Namun ada sebahagian polips berkenaan boleh bertukar menjadi kanser selepas tempoh tertentu.

Oleh itu, penting untuk membuat pemeriksaan berkala bagi mengenal pasti kehadiran polips pada bahagian usus supaya tindakan awal dapat dijalankan sebelum ia menjadi lebih parah.

Antara faktor yang menyumbang kepada pening­katan risiko mendapat kanser kolorektal adalah mutasi gen dan ia boleh diturunkan kepada ahli keluarga dan keturunan.

Biarpun begitu, mutasi gen yang diturunkan secara genetik tidak membuatkan seseorang pasti mendapat kanser berkenaan, tetapi ia boleh meningkatkan risiko dengan ketara.

Ketua Klinik Pemeriksaan Kesihatan dan Kanser Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM), Dr Dalilah Kamaruddin berkata, kanser kolorektal adalah kanser kedua paling banyak dihidapi oleh wanita dan lelaki di Malaysia.

Katanya, sebanyak 3,837 kes baru kanser itu dilaporkan pada 2012 dengan pesakit lelaki mewakili 14.2 peratus berbanding semua jenis kanser yang dihidapi lelaki di negara ini.

“Seramai 10.4 peratus wanita pula dikesan menghidap kanser kolorektal berbanding semua jenis kanser yang dihidapi wanita di negara ini pada tahun yang sama,” katanya.

Simptom yang menunjukkan tanda seseorang mungkin menghidap kanser kolorektal adalah perubahan corak pembuangan najis, misalnya mengalami cirit-birit, sembelit atau perubahan najis yang ketara.

Ia juga boleh dikesan sekiranya seseorang mengalami pendarahan ketika membuang najis kerana terdapat pendarahan pada rektal atau najis bercampur darah.

Rasa tidak selesa pada bahagian abdomen termasuk kekejangan, penuh angin atau kesakitan menjadi antara tanda untuk mengenal pasti sama ada seseorang itu menghidap kanser kolorektal.

Pada masa sama, rasa seperti usus tidak kosong dan masih terdapat ‘sesuatu’ biarpun sudah ke tandas beberapa kali.

Mereka yang mengalami kanser kolorektal juga mengalami rasa lemah dan kepenatan melampau serta kehilangan berat badan secara tiba-tiba tanpa diketahui sebabnya.

Bagaimanapun, simptom yang dialami seseorang berbeza dan tidak sama antara setiap kes kerana ia juga bergantung kepada saiz kanser yang dialami dan lokasinya dalam usus besar.

Menurut Dr Dalilah, punca utama kanser kolorektal adalah kewujudan polips tidak normal yang berkembang dalam tisu kolon atau rektum.

Katanya, 95 peratus kanser kolon berpunca daripada polips yang bertukar menjadi kanser di dalam lapisan dinding ­kolon dan rektum.

“Faktor umur juga memainkan peranan penting kerana 90 peratus pesakit kanser kolon adalah terdiri daripada mereka yang berusia 50 tahun ke atas.

“Risiko semakin tinggi bagi mereka yang mempunyai ahli keluarga yang pernah menghidap kanser kolorektal, uterin atau perut.

“Begitu juga risiko meningkat bagi mereka yang pernah menderita kanser kolon atau mempunyai pesakit radang usus seperti penyakit Chrohn’s,

‘Ulcerative Collitis’, ­diabetes jenis dua dan pernah mempunyai polips di bahagian kolorektal,” katanya.

Dalam kebanyakan kes, punca sebenar kanser kolon tidak jelas, tetapi ia boleh berlaku apabila sel sihat yang ada pada bahagian kolon mengalami perubahan.

Apabila sel rosak dan berubah menjadi kanser, sel terus membahagi biarpun apabila ia tidak ­diperlukan. Seterusnya ia boleh ‘menceroboh’ dan merosakkan tisu sihat sekeliling, malah boleh merebak ke bahagian badan lain.

Apabila seseorang mendapati terdapat darah dalam najis atau perubahan corak pembuangan najis yang ketara, mereka perlu segera bertemu dengan doktor.

Dr Dalilah berkata, kanser kolorektal boleh dielakkan dengan cara me­ngurangkan risiko yang ada termasuk meningkatkan aktiviti fizikal, misalnya memperuntukkan masa lebih daripada 30 minit beberapa hari dalam seminggu untuk bersenam.

Katanya, antara cara lain merendahkan risiko terkena kanser kolorektal adalah dengan berhenti merokok kerana ia boleh meningkatkan risiko perkembangan polips dan memperbaiki diet dengan cara mengurangkan pe­ngambilan alkohol, kandungan lemak yang tinggi serta daging merah diproses atau dimasak secara barbeku.

“Tidak ada sebarang makanan tertentu atau suplemen yang boleh membantu mengurangkan risiko kanser kolorektal, namun amalan pemakanan yang tinggi dengan kandungan serat, buah-buahan dan sayuran, boleh membantu melindungi kolon,” katanya.

Menurutnya, mereka yang dikesan menghidap kanser kolon harus bertanya kepada doktor yang merawat mengenai tahap kanser dan keadaan terkini penyakit berkenaan.

Katanya, pesakit juga perlu tahu jenis rawatan yang terbaik untuk dijalani dan mereka harus me­ngikut nasihat pakar.

“Jangan sesekali ­mencampuradukkan rawatan di hospital dengan perubatan alternatif kerana kemungkinan ia bercanggah dan meningkatkan kesan sampingan rawatan.

“Mereka yang didapati menghidap kanser kolorektal perlu sentiasa kuat dan positif dari segi mental, fizikal dan rohani.

“Mereka juga perlukan sokongan orang tersayang di sekeliling supaya tidak menjadi murung dan sentiasa bersemangat melawan penyakit yang dihidapi,” katanya.

Pesakit biasanya akan berhadapan dengan kemurungan, rasa sedih, marah, sukar memberi perhatian, tidur terganggu dan hilang selera makan.

Namun terapi seperti senaman, muzik dan seni boleh membantu menaikkan semangat selain hubungan rapat dengan keluarga dan rakan.

Mendapatkan maklumat tepat mengenai ­tahap kanser yang dihadapi serta mengumpul ­sebanyak mungkin ilmu berkaitan penyakit

boleh membantu anda untuk lebih bersedia secara mental untuk menghadapinya dengan positif.

Pada masa sama, merujuk kepada badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan yang memberi sokongan dalam berhadapan dengan penyakit kanser seperti NCSM mampu menguatkan semangat pesakit yang sedang bertarung dengan kanser kolorektal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2015 @ 9:46 AM