Ahmad Hasbi


Seremban: Tidak tahu. Itu alasan popular diberikan beberapa individu selepas dikesan melakukan kesalahan merokok di dalam premis makanan ketika Ops Larangan Merokok di sekitar daerah ini, malam tadi.

Ketika pemeriksaan dijalankan di medan selera di Temiang, di sini, seorang lelaki berusia 70-an yang sedang leka merokok tergamam dengan kehadiran penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri Negeri Sembilan (JKNNS).

Dia yang menyedari akan diambil tindakan undang-undang cuba membuang rokok sedang dihisap, namun ia sempat dirampas penguat kuasa.

Tindakannya itu seolah-olah tidak menggambarkan alasannya yang tidak tahu mengenai peraturan larangan merokok di kawasan premis makanan.

Tinjauan di premis lain mendapati tiada pelanggan merokok ketika pemeriksaan dijalankan, namun dapat dilihat dengan jelas puntung rokok bertaburan di lantai terutama di bawah meja.

SEORANG lelaki dikompaun kerana merokok dalam premis makanan di Seremban, malam tadi. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
SEORANG lelaki dikompaun kerana merokok dalam premis makanan di Seremban, malam tadi. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

Dalam pemeriksaan bermula 2 petang itu, sebanyak 30 notis dikeluarkan atas kesalahan mengikut Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (PPKHT 2004) dengan nilai kompaun berjumlah RM7,500.

Pegawai Kesihatan Persekitaran JKNNS, S Mariappa berkata, 90 premis diperiksa dalam operasi semalam dan 66 Notis Memerintahkan Kehadiran Ke Mahkamah (Seksyen 32B) dikeluarkan.

"Sebanyak 30 notis dikeluarkan atas kesalahan merokok di dalam premis makanan dengan nilai kompaun RM7,500.

"Sebanyak lima notis bagi kesalahan kegagalan tuan punya atau penghuni premis memastikan bahawa tiada seorangpun merokok di dalam premis mengikut Peraturan 12(1)(b) PPKHT 2004 yang bernilai kompaun RM1,250 dan lain-lain kesalahan sebanyak 31 notis yang bernilai kompaun RM7,750 dikeluarkan," katanya.

Mengulas mengenai alasan tidak tahu mengenai peraturan itu, Mariappa berkata, peraturan itu sudah diwartakan sejak 2019 dan kerajaan memberi tempoh selama setahun sebelum penguatkuasaan dijalankan.

"Untuk tempoh setahun itu, kami memberi fokus dalam memberikan kesedaran dan pendidikan kepada orang awam.

"Media turut memainkan peranan dalam menyebarkan mengenai peraturan ini, jadi tiada alasan mereka tidak tahu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2022 @ 10:34 AM