Zahidi sudah lama membangkitkan manfaat ketum. FOTO Azhar Ramli
Zahidi sudah lama membangkitkan manfaat ketum. FOTO Azhar Ramli
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


DIANGGARKAN Malaysia kerugian lebih RM100 juta setahun kerana melarang penanaman ketum secara komersial memandangkan tumbuhan itu bernilai tinggi khususnya di pasaran luar negara.

Pengerusi Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, negara kehilangan ratusan juta ringgit setiap kali pihaknya mengeluarkan kenyataan berkaitan tumbuhan itu.

"Apabila saya keluarkan kenyataan berkenaan ketum, negara lain yang ambil manfaat dan keuntungan menerusi syarikat multinasional mereka yang memenuhi permintaan ketum di Eropah.

"Sudah bertahun saya bangkitkan isu ini, kita lihat pasaran semasa sekarang penjualan daun ketum ke Eropah didominasi Indonesia dan Vietnam namun kita masih ditakuk lama," katanya selepas Majlis Bantuan 'Back To School 2018' Peringkat Parlimen Padang Besar di Tapak Pasar Sehari (NAT), Bukit Keteri, Beseri, di Padang Besar, hari ini.

Beliau berkata, terbaru pihaknya mendapati Indonesia menjana ratusan juta ringgit setahun hasil daripada eksport tanaman berkenaan.

"Pusat penanaman ketum di Kalimantan, Indonesia menjana RM10 juta bersih sebulan manakala kita masih berperang mulut membahaskan isu ini," katanya.

Zahidi berkata, sekiranya kerajaan meluluskan penanaman ketum secara komersial, kutipan cukai tahunan negara bakal meningkat tinggi hasil pungutan cukai ke atas pengusaha ladang ketum.

"Malah, terkini pasaran Eropah begitu meminati daun ketum yang dihasilkan oleh negeri di utara tanah air seperti Perak, Kedah dan Perlis kerana mempunyai kualiti yang terbaik," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang menunggu kelulusan kerajaan untuk diwartakan satu lesen khas mengenai tanaman ketum di samping mengadakan satu perjumpaan khas di peringkat tertinggi kerajaan pusat dalam jangka masa terdekat.

"Segelintir pihak tidak faham kerana mereka menganggap sekiranya kita meluluskan tanaman ketum secara komersial, masalah penyalahgunaan tumbuhan berkenaan oleh pihak tidak bertanggungjawab akan timbul dan lebih teruk merosakkan generasi muda.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini ladang yang akan diusahakan nanti akan dikawal ketat oleh pihak berkaitan malah RISDA akan bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk memantau penanaman terbabit supaya tidak disalah guna," katanya.

Pada majlis itu RISDA menyalurkan sumbangan bernilai RM149,700, berupa baju sekolah, beg dan kasut diberikan kepada lebih 2,000 orang kanak-kanak berusia enam hingga 10 tahun terdiri daripada anak pengusaha dan pekebun kecil bimbingan agensi itu, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 3:53 PM