BERNAMA

Sarikei: Wang tunai Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) berjumlah lebih RM35,000 yang baru dikeluarkan dari sebuah bank di sini, lesap dalam kejadian pecah kereta semalam.

Ketua Polis Daerah Sarikei Superintendan Mat Jusoh Muhammad berkata, wang itu dikeluarkan seorang guru berusia 50-an dari sebuah sekolah menengah dalam daerah Julau dekat sini.

Beliau berkata, ketika kejadian guru berkenaan ke sebuah kedai komputer untuk membaiki pencetak dan hanya menyedari kejadian apabila kembali ke kereta dan mendapati cermin tingkap sebelah penumpang depab keretanya yang diletak di depan sebuah farmasi di Jalan Masjid di sini, dipecahkan.

Katanya, guru itu memeriksa beg sandang yang diletak di bawah kerusi penumpang depan dan mendapati wang tunai RM35,280, buku akaun bank dan buku akaun Amanah Simpanan Bumiputera, hilang.

Guru itu membuat laporan polis pada jam 5.10 petang. Pengadu mengesyaki suspek mengekorinya dari bank.

Mat Jusoh berkata, menurut saksi, dua lelaki menaiki motosikal kelihatan menghampiri kereta itu dan seorang daripada mereka memecah cermin tingkap serta mengambil beg sandang sebelum melarikan diri.

Beliau berkata usaha mengesan suspek sedang dijalankan dan kes siasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2016 @ 7:17 PM