TANGKAP layar rakaman video tular.
TANGKAP layar rakaman video tular.
Ahmad Hasbi


Seremban: Tindakan wanita yang memandu secara mengundur sebelum melanggar papan tanda yang dirakam dan tular di laman sosial, hari ini didapati berlaku selepas pemandunya tiada lesen memandu.

Kejadian pada 1.20 pagi itu berlaku di Jalan Seremban - Kuala Pilah, dekat Ampangan, di sini, yang mana kereta Proton Saga berwarna jingga dipandu seorang wanita berusia 26 tahun terbabas ke dalam parit.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, terdahulu pemandu terbabit cuba melarikan diri ketika cuba diperiksa di Taman Ampangan sebelum anggotanya mengekori wanita berkenaan.

"Anggota kereta peronda polis (MPV) yang membuat rondaan di Taman Ampang ternampak sebuah kereta sedang berhenti dalam keadaan mencurigakan sebelum anggota cuba untuk membuat pemeriksaan.

"Secara tiba-tiba kereta berkenaan memecut laju ke arah Jalan Seremban- Kuala Pilah dan anggota kami mengekorinya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemandu kereta itu kemudiannya secara tiba-tiba memperlahankan kenderaannya dan memandu secara mengundur lalu merempuh papan tanda sebelum terbabas ke dalam parit.

"Anggota kemudian memberhentikan MPV di bahu jalan dan membuat semakan.

"Pemeriksaan lanjut mendapati suspek melarikan diri kerana tiada lesen memandu, namun kereta itu tidak mempunyai kesalahan lain," katanya.

Nanda berkata, pihaknya mengeluarkan saman bagi kesalahan tiada lesen memandu dan dokumentasi.

Terdahulu tular di laman TikTok video berdurasi 53 saat yang memaparkan sebuah kenderaan polis sambil memasang lampu kecemasan meluru ke arah sebuah kereta yang terbabas di bahu jalan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2022 @ 11:41 PM