Kenderaan SUV dan kereta MPV Polis yang rosak selepas terbabit dalam kemalangan ketika polis mengejar suspek yang melarikan diri Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke) menghala ke Plaza Tol Jalan Duta. Ihsan pdrm
Kenderaan SUV dan kereta MPV Polis yang rosak selepas terbabit dalam kemalangan ketika polis mengejar suspek yang melarikan diri Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke) menghala ke Plaza Tol Jalan Duta. Ihsan pdrm
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Bimbang ditahan polis kerana positif dadah methamphetamine menyebabkan dua lelaki tergamak melarikan diri dan memandu kereta dalam keadaan berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pada jam 3:10 pagi, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju menerima panggilan daripada anggota unit kereta peronda (MPV) memaklumkan sedang mengejar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang mencurigakan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke) menghala ke Plaza Tol Jalan Duta.

Menurutnya, kenderaan itu memecut laju apabila diminta untuk memberhentikan kenderaan untuk pemeriksaan.

"Anggota MPV mengejar suspek bermula dari Lebuhraya Duke- Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) - Batu Caves - Tol Jalan Duta - Jalan Tun Razak hingga di persimpangan Jalan Sungai Besi dan Jalan Dua.

"Kenderaan yang dipandu oleh suspek terlanggar sebuah kenderaan lain yang berada di hadapan dan ketika anggota MPV sedang mengejar rapat, anggota MPV turut terlanggar kenderaan suspek menyebabkan kenderaan terbabas di tepi jalan.

"Pemandu yang dilanggar oleh suspek tidak mengalami sebarang kecederaan dan kereta mengalami kerosakan di bahagian belakang," katanya dalam kenyataan malam ini.

Ashari berkata, kenderaan MPV mengalami kerosakan di bahagian hadapan, manakala seorang daripada anggota cedera di muka dan mulut, sementara seorang lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Anggota yang cedera dibawa ke hospital untuk menerima rawatan manakala kenderaan suspek mengalami kerosakan di bahagian hadapan dan belakang.

"Dua lelaki berusia 33 tahun ditahan dan mengalami kecederaan ringan di bahagian muka," katanya.

Katanya, siasatan mendapati mereka melarikan diri kerana positif dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 337 Kanun Keseksaan.

"Kesemua suspek ditahan reman selama tiga hari sehingga esok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Julai 2022 @ 8:21 PM