GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa dan tidak terbabit dalam pengagihan benih padi kepada petani.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, proses membekalkan benih padi kepada petani adalah urusan kerajaan pusat dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

"Proses pengagihan benih padi adalah dibawa bidang kuasa MAFI selepas melantik sembilan syarikat pembekal benih padi berlesen.

"Tiada syarikat daripada negeri ini diberi lesen untuk membekalkan benih padi kepada pesawah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Azman berkata demikian sebagai menjelaskan dakwaan pihak tidak bertanggungjawab yang menuduh kerajaan negeri tidak adil apabila hanya mengagihkan benih padi kepada pihak tertentu sahaja.

Mengulas lanjut, beliau berkata, urusan membekalkan benih padi kepada pesawah diuruskan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK) dan Pertubuhan Peladang Kawasan.

"Tiada pembabitan kerajaan negeri dalam menguruskan penagihan benih padi kepada pesawah seperti yang didakwa.

"Kerajaan negeri juga tidak pernah menyediakan sebarang peruntukan untuk skim bantuan benih padi berikutan skim subsidi sudah disediakan MAFI," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2022 @ 9:44 PM