Mahdzir Khalid. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Mahdzir Khalid. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Noorazura Abdul Rahman


Padang Terap: Kedudukan kerjasama Umno dan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) berkemungkinan akan ditentukan pada Persidangan Agong Umno (PAU) yang dijadualkan berlangsung pada awal tahun depan.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, beliau tidak menolak perkara itu namun tetap berharap ia dapat diputuskan di peringkat kepimpinan tertinggi Umno dan Pas tanpa perlu diputuskan perwakilan dalam perhimpunan itu.

"Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang juga pernah menyebut sebelum ini bahawa beliau juga bergantung kepada salah satu dewan tertinggi Pas untuk tentukan hala tuju MN.

"Kita pula akan tentukan menerusi PAU sekiranya terdapat usul untuk membahas mengenainya, namun sekiranya kedua-dua kepimpinan parti ada perbincangan atau apa jua penyelesaian, mungkin tidak perlu dibawa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita Umno Bahagian Padang Terap, di Naka, hari ini.

Mengulas lanjut, Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, pada dasarnya hubungan Umno dan Pas di peringkat akar umbi adalah baik.

Ini kerana katanya, hubungan itu terbentuk atas ukhwah dan perpaduan, bangsa serta agama.

"Kita telah bina satu ikatan pada tahun 2019 antara Umno dan Pas, saya ada sebut dalam perjumpaan, dengan kepimpinan di peringkat bahagian dan cawangan sama ada di Padang Terap atau luar Padang Terap saya kata biarlah masa menentukan.

"Jadi sekiranya pada waktu itu keputusannya kekal Umno dan Pas dalam satu ikatan yang namanya Muafakat, kita tidak ada halangan sebab itulah keputusannya, dan sekiranya pada waktu itu ada keputusan lain yang dibuat kepimpinan kita terpaksa menerimanya," katanya. Media

Media sebelum ini melaporkan Pas akan menolak MN sekiranya Umno enggan menerima Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan badan bukan kerajaan (NGO) yang lain bagi menyertai gagasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 4:33 PM