Bomba mengangkat mayat mangsa yang ditemui lemas pagi tadi. FOTO IHSAN BOMBA
Bomba mengangkat mayat mangsa yang ditemui lemas pagi tadi. FOTO IHSAN BOMBA
Oleh Noor Hidayah Tanzizi


Teluk Intan: Lelaki yang dilaporkan hilang ketika menjala udang galah di Dataran JPS Sungai Perak di sini, semalam ditemui lemas hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mayat mangsa ditemui jam 11.13 pagi.

"Komander operasi memaklumkan, jasad mangsa ditemui dalam keadaan terapung, kira-kira lima meter dari lokasinya dipercayai terjatuh.

"Mayat diserah kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya pada kenyataan.

Operasi mencari dan menyelamat yang diketuai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan Mohd Ismail Mohd Yunus itu tamat jam 11.34 pagi.

Semalam, media melaporkan, mangsa yang berusia 37 tahun menjala udang bersama rakannya yang menunggu di atas beting pasir di sungai berkenaan.

Mangsa kemudiannya dilaporkan terjatuh sebelum rakan mangsa menghubungi polis dan memaklumkan kejadian jam 2.43 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2022 @ 2:46 PM