AZMAN Che berjaya ditemui orang awam dan anggota Jabatan Bomba Dan Penyelamat selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika menjala di Kompleks Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Besut, Kuala Besut.  FOTO NURUL FATIHAH SULAINI
AZMAN Che berjaya ditemui orang awam dan anggota Jabatan Bomba Dan Penyelamat selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika menjala di Kompleks Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Besut, Kuala Besut. FOTO NURUL FATIHAH SULAINI
Nurul Fatihah Sulaini


Jertih: Buruh ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh ketika menjala ikan di Kompleks Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Besut, Kuala Besut, hari ini.

Mayat mangsa, Azman Che Amat, 45, dari Kampung Bukit Mas, Tanah Merah ditemui orang awam dan anggota bomba pada 5.32 petang tadi.

Isteri mangsa, Noraini Mohd Nor, 44, berkata dia dan suami datang dari Tanah Merah, Kelantan ke jeti berkenaan kira-kira 9 pagi untuk membeli ikan.

"Sejak kami berkahwin pada Ogos lalu, suami akan membawa bersama jala untuk menjala ikan setiap kali diajak ke sini.

"Ketika kejadian, saya pergi menyimpan ikan di kereta sebelum melihat orang ramai riuh di jeti memaklumkan terdengar bunyi benda jatuh.

"Pada masa itu, saya menyedari suami terjatuh sungai selepas melihat ada sebelah seliparnya dan jala di tempat dia menjala," katanya ketika ditemui di jeti berkenaan, di sini.

Menurutnya, suaminya sudah membuat persiapan untuk menjala ikan dengan membaiki jala yang rosak sejak malam semalam.

Katanya, suaminya menjala sekadar hobi sahaja dan mereka sebenarnya bercadang mahu pulang selepas selesai menjala kira-kira 3.30 petang.

Penduduk Kampung Seberang Kastam, Mohamad Najmi Daud, 31, berkata dia memberanikan diri terjun untuk mencari mangsa kerana pernah beberapa kali mencari benda hilang di dasar sungai itu.

"Pada mulanya saya mencari sekitar bawah jeti, tetapi tidak jumpa dan mencari di tempat mangsa terjatuh sebelum terpegang lengannya dan angkat mayatnya naik ke atas dengan bantuan anggota bomba," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Besut, Mohamad Jusoh berkata, mayat mangsa ditemui di kedalaman tiga meter di dasar sungai.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut bagi tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2020 @ 8:26 PM