GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohd Iskandar Ibrahim

Kuala Lumpur: Sebanyak 4,000 tan metrik ayam bulat dan keratan sudah dibawa masuk 14 syarikat yang diberi kebenaran mengimport, setakat 7 Mac lalu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, pengimportan itu untuk menampung kekurangan bekalan makanan berkenaan.

"Kita mengakui kelewatan pengimportan ini berlaku kerana beberapa sebab tidak dapat dielakkan.

"Hasil libat urus bersama pihak berkaitan pada 14 Januari lalu, kita mendapat maklumat bahawa masalah berlaku disebabkan negara pengimport iaitu Thailand mengalami kekurangan bekalan selain harga tidak kompetitif.

"Untuk makluman, Thailand turut beralih kepada sumber protein ayam disebabkan penyakit Demam Babi Afrika (ASF). Jadi mereka beralih kepada ayam dan permintaan di negara mereka meningkat manakala pengeluaran menurun," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) yang meminta penjelasan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengenai kelewatan dan kekangan dihadapi untuk mengimport ayam bulat.

Ahmad berkata, bagi menangani masalah yang berlaku, MAFI melakukan intervensi dengan melanjutkan tarikh kebenaran mengimport sehingga 9 Mei ini supaya syarikat terbabit dapat membawa masuk bekalan makanan itu.

Menjawab soalan asal Shaharizukirnain sama ada langkah memberikan kebenaran mengimport ayam akan menjejaskan pengusaha tempatan, Ahmad berkata, kebenaran mengimport seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 1 Disember tahun lalu, hanya bersifat sementara.

"Kemasukan ayam import tidak menjejaskan pengusaha ayam tempatan kerana hanya bersifat sementara sehingga bekalan ayam dalam negara dapat distabilkan.

"Jumlah pengimportan adalah dalam kuantiti kecil meliputi 8.8 peratus daripada keperluan pengguna.

"Purata keperluan ayam dalam negara sebanyak 3,762 tan metrik (2.1 juta ekor) sehari atau 113,220 tan metrik (62.9 juta ekor) sebulan. Pada Oktober hingga Disember tahun lalu, negara berhadapan dengan kekurangan bekalan ayam sebanyak 8.5 peratus (9,601 tan metrik atau 5.3 juta ekor)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2022 @ 2:40 PM