GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Pengimportan ayam sejuk beku dilihat alternatif jangka pendek yang mampu menstabilkan ayam segar.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, pengimportan bahan mentah itu juga boleh memberikan pengguna pilihan sama ada mahu ayam segar mahu pun sejuk beku.

Beliau berkata, keputusan dibuat kerajaan itu dilihat sesuai dalam situasi semasa kerana perlu mewujudkan situasi menang-menang antara pengguna dan peniaga.

"Keputusan untuk mengimport dilihat munasabah dalam usaha untuk menstabilkan kembali harga ayam di pasaran yang mencecah RM9.30 sekilogram.

"Apabila permintaan ayam segar menurun ia mungkin memberi kesan kepada penternak untuk kembali menurunkan harga," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, ayam sudah menjadi antara pilihan utama masyarakat susulan harga bahan mentah laut seperti ikan, udang dan sotong yang sudah melambung sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, keadaan ini perlu dikawal agar memastikan rakyat tidak terus terbeban namun dalam masa sama nasib peniaga dan penternak diberi perhatian.

Baru-baru ini kerajaan membuat keputusan untuk mengimport ayam bulat sejuk beku bagi tempoh tiga bulan bermula bulan ini sehingga Februari 2022.

Kebenaran mengimport bagi menampung kekurangan bekalan ayam di pasaran itu, membabitkan 10,000 tan metrik atau 5.5 juta ekor sebulan.

Isu kenaikan harga ayam segar di pasaran sudah berlarutan sejak beberapa bulan lalu dengan penternak memberi alasan kos dedak dan kekurangan pekerja menjadi punca kenaikan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 2:42 PM