Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Permit Import (AP) ayam bulat sejuk beku ke Malaysia tidak dibatalkan susulan langkah kerajaan memberikan subsidi harga ayam dan telur ayam kepada penternak sepanjang pelaksanaan Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM).

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) 1 Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, kelulusan mengimport ayam bulat sejuk beku dari luar negara itu diyakini dapat mengatasi kekurangan bekalan ayam mentah sekali gus dapat menurunkan harga pasaran runcit.

"Pada ketika ini AP ayam bulat sejuk beku ke negara ini masih lagi berkuat kuasa dan tidak dibatalkan. Saya fikir kerajaan mengambil tindakan tepat memberi kelulusan kepada empat pasar raya mengimport ayam bulat.

"Saya rasa langkah ini juga dapat menurunkan lagi harga ayam kerana mereka tidak perlu melalui orang tengah dan boleh terus jual kepada pengguna," katanya selepas menyampaikan sumbangan bekalan makanan haiwan melalui Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) kepada jabatan dan agensi melalui Program Mafi Prihatin di sini, hari ini.

Bulan lalu kerajaan memberi memberi kelulusan mengimport ayam bulat sejuk beku ke Malaysia kepada 32 syarikat dari tiga negara iaitu Thailand, China dan Brazil bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan dan kenaikan harga ayam mentah yang dihadapi rakyat.

Pengimportan itu akan dihentikan sebaik sahaja bekalan ayam di negara ini stabil semula.

AHMAD (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan makanan kepada Pengarah Zoo Melaka, Zanariah Khamis (dua dari kanan). FOTO Syafeeq Ahmad
AHMAD (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan makanan kepada Pengarah Zoo Melaka, Zanariah Khamis (dua dari kanan). FOTO Syafeeq Ahmad

Ditanya mengapa kerajaan masih membenarkan ayam dan telur dieksport ketika bekalan dalam negara bermasalah, Ahmad berkata, ia bagi mengelak negara mengalami kerugian dalam jangka masa panjang.

"Tahap Sara Diri (SSL) bagi bekalan ayam dalam negara adalah 104 peratus. Pengeluaran ayam harian sebanyak 2.6 juta ekor sementara penggunaan domestik mencapai 2.5 juta ekor sehari, jadi terdapat lebihan bekalan yang kita eksport ke Singapura.

"Kerajaan tidak mengesyorkan pengeluar mengurangkan atau berhenti mengeksport kerana negara akan rugi dalam jangka panjang apabila negara pengimport mencari sumber lain," katanya memberitahu pengeluar ayam juga menandatangani perjanjian jangka panjang dan tidak boleh sewenangnya menghentikan eksport.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Februari 2022 @ 6:52 PM