TN Alagesh


Kuantan: Seorang penolong pegawai pejabat tanah dan daerah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas enam tuduhan menerima suapan bernilai RM1,400, tahun lalu.

Mohd Faris Romle, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nurul Farahah Mohd Suah.

Tertuduh yang berkhidmat di unit penguatkuasaan Pejabat Tanah dan Daerah Bentong didakwa menerima wang tunai menerusi transaksi online daripada Rokiah Haron yang dia sedar mempunyai kaitan dengan tugas rasminya.

Mohd Faris didakwa menerima enam kali pindahan wang di institusi perbankan di Bentong iaitu RM300 pada 10 Februari 2020, diikuti RM 300 pada 17 Februari 2020 dan RM400 pada 6 Mac 2020.

Dia juga didakwa menerima RM100 masing-masing dua kali pada 8 Julai 2020 dan RM200 pada 17 September 2020, dengan semua kesalahan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda jika sabit bersalah.

Terdahulu, Penolong Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Siti Sarah Zainal Abiddin menawarkan jaminan RM5,000 bagi semua tuduhan dihadapi Mohd Faris dan memohon tarikh sebutan semula untuk tertuduh melantik peguam.

TERTUDUH (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan atas enam tuduhan menerima suapan, hari ini. FOTO Farizul Hafiz Awang.
TERTUDUH (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan atas enam tuduhan menerima suapan, hari ini. FOTO Farizul Hafiz Awang.

Tertuduh merayu diberikan jaminan lebih rendah mengambil kira pendapatan bulanannya hanya RM1,500 dan perlu menyara isteri, dua anak dan ibu bapa.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 November depan untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 1:47 PM