Nur Jazlan Mohamed
Nur Jazlan Mohamed
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Semua Pengerusi UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri disarankan sama-sama memikul tanggungjawab atas prestasi buruk parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sekali gus turut meletakkan jawatan mereka.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata tidak wajar semua pihak hanya meletakkan kesalahan dan tanggungjawab itu kepada Presiden UMNO dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selain terus mendesaknya untuk meletak jawatan.

"Seeloknya semua Pengerusi UMNO dan BN negeri umumkan letak jawatan dan bukan hanya desak Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN saja yang berundur.

"Ini termasuk juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang kalah dan juga ketua-ketua sayap parti yang kalah sepatutnya melepaskan jawatan masing-masing.

"Ini kerana kekalahan ini adalah tanggungjawab bersama dan bukan letakkan semua kesalahan atas bahu Presiden UMNO sahaja. Barulah 'gentleman'.

"Begitu juga Presiden MCA dan MIC yang cukup lancang mulut mereka minta Ahmad Zahid lepaskan kerusi Pengerusi BN kerana dituduh gagal dan jadi punca kekalahan teruk BN pada PRU15," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam keputusan PRU15 yang diumumkan awal pagi Ahad lalu, BN dilaporkan hanya berjaya memperoleh 30 kerusi Parlimen, jumlah kerusi lebih rendah berbanding dicapai mereka pada PRU14.

Pada PRU14 lalu, UMNO dilaporkan menang di 54 kerusi Parlimen.

Berdasarkan keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), beberapa kerusi yang dimenangi UMNO dalam PRU14 lalu, tewas dan beralih ke Perikatan Nasional (PN).

Dalam pada itu, Nur Jazlan yang turut tewas di kerusi Parlimen Pulai pada PRU15 berakhir Sabtu lalu menimbulkan persoalan berapa banyak kerusi dimenangi MCA dan MIC pada pilihan raya berkenaan.

"Saya nak tanya Presiden MCA (Datuk Seri Dr Wee Ka Siong) dalam 40 kerusi yang diberikan kepada mereka pada PRU15, berapa puluh kerusi yang mereka menang. 10, 20, 30 kerusi. Kamu hanya menang dua kerusi saja, itupun kerusi majoriti Melayu.

"MIC pula diberi 10 kerusi tapi cuma menang 1 kerusi saja. Presidennya,Tan Sri SA Vigneswaran pula kalah teruk," katanya.

Nur Jazlan berkata, jika mereka mereka tidak mahu letak jawatan maka jangan minta orang lain pula berundur.

"Sebaiknya dalam keadaan ini, semua pihak bermuhasabah, renung dalam diri masing-masing, akui kesalahan sendiri juga sebelum tuding jari pada orang lain.

"Saya juga termasuk dalam kumpulan calon BN yang kalah tapi saya tak ada nak sibuk-sibuk susun atur hala tuju parti, saya tak ada nak desak Presiden letak jawatan.

"Baik kita buat 'post mortem', cari punca rakyat tak undi kita, cuba untuk akui dan perbetulkan kesilapan serta bagaimana cara untuk kita semua bangkit semula. Bagi saya cari itu lebih afdal daripada kita duduk sibuk dengan hal-hal yang semuanya terikat kepada Perlembagaan dan peraturan parti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2022 @ 3:49 PM