DATUK Dr Mohd Hizamri (kiri) menyerahkan replika cek bantuan persekolahan sesi 2022 untuk anak kakitangan JPNP kepada wakil pekerja di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Tanah Rata. FOTO Mohd Rafiamat
DATUK Dr Mohd Hizamri (kiri) menyerahkan replika cek bantuan persekolahan sesi 2022 untuk anak kakitangan JPNP kepada wakil pekerja di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Tanah Rata. FOTO Mohd Rafiamat
Mohd Rafi Mamat


Cameron Highlands: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mengeluarkan kompaun berjumlah RM3.9 juta terhadap pesalah hutan sepanjang tahun lalu.

Pengarahnya Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, pihaknya turut merampas 44 jentera termasuk lori balak yang digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab melakukan kesalahan hutan terbabit.

Katanya, usaha membanteras aktiviti menceroboh hutan simpan bagi tujuan memindahkan balak dan aktiviti melombong secara haram terus dilakukan oleh Unit Penguat kuasa JPNP Pahang Barat dan Pahang Timur.

Menurutnya, pelbagai kaedah digunakan untuk mengesan kegiatan haram itu, selain menggunakan satelit dan dron turut dilakukan rondaan dan sekatan jalan raya.

"Sepanjang tahun lalu sebanyak sembilan operasi bersepadu dilakukan dengan kerjasama beberapa agensi penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Tanah dan Daerah serta Unit Penguat kuasa Negeri Pahang (UPNP).

"Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pahang telah meluluskan aktiviti penguatkuasaan yang dilakukan secara bersama dan operasi pertama dilakukan di Hutan Simpan Sungai Lembing baru-baru ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada program perhimpunan bulanan JPNP di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Tanah Rata, di sini semalam.

Selain menyampaikan sijil penghargaan kepada kakitangan pada program berkenaan Mohd Hizamri bagi pihak Persatuan Kebajikan dan Sukan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (PEKSJAP) menyerah replika cek RM58,300 bantuan persekolahan sesi 2022 untuk anak kakitangan JPNP dan bantuan peperiksaan khas pembantu operasi dan pembantu awam (POPA) sebanyak RM29,560.

Mohd Hizamri berkata, JPNP serius membanteras kegiatan menceroboh hutan simpan dan tanah milik kerajaan.

"Walaupun sentiasa mendapat bantahan dan kritikan setiap kali operasi dilakukan namun usaha berkenaan tetap diteruskan," katanya.

#kw JPNP, hutan, kompaun, balak, ceroboh, Pahang, Cameron Highlands

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2022 @ 12:57 PM