JAWATANKUASA masjid melakukan kerja pengagihan daging. FOTO Yusmizal Dolah Aling
JAWATANKUASA masjid melakukan kerja pengagihan daging. FOTO Yusmizal Dolah Aling
Yusmizal Dolah Aling


IBADAT korban di Masjid Al Ehsan Seksyen 24, Shah Alam, berjalan seperti biasa biarpun dilaksanakan dalam normal baharu.

Berbeza dengan tahun lalu, proses pada kali ini dilakukan dengan mengambil kira penjarakan fizikal serta memakai pelitup hidung seperti yang disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Penolong Bendahari, Zainal Abidin Abdul Wahid berkata, dia bersama barisan jawatankuasa masjid melakukan persediaan beberapa hari lalu selepas dimaklumkan akan menerima lembu daripada kerajaan negeri Selangor.

Katanya, pihak masjid hanya menguruskan seekor lembu yang disumbangkan kerajaan negeri.

Menurutnya, sebanyak 14 lembu disumbangkan ahli kariah diuruskan di Pusat Penyembelihan di Kundang dan jawatankuasa masjid akan mengedarkan kepada kariah.

"Memanglah tahun ini agak suram kerana biasanya meriah dengan kehadiran ahli kariah, tetapi tanggungjawab perlu dijalankan seperti biasa.

"Kebanyakan dari kami ada pengalaman dalam penyembelihan. Ada juga yang membantu sehingga selesai. Kami jangkakan agihan akan dibuat esok," katanya.

Zainal Abidin berkata, kali ini, tugas mereka lebih mudah kerana pihaknya menerima lembu yang siap disembelih untuk diproses jawatankuasa masjid.

"Jadi sekejap saja kerja hari ini. Bagaimanapun, suasana ibadat korban tetap dirasakan," katanya yang turut memastikan SOP dipatuhi.

Sementara itu, Mohd Kassim Jamil berkata, tahun ini dia 'merasa' menyembelih lembu yang disumbangkan kepada pihak masjid.

Tahun lalu katanya, kudratnya digunakan untuk menyembelih 13 ekor lembu di masjid itu.

"Saya mengikuti kursus dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada 2014 untuk memastikan sembelihan dilakukan dengan sempurna.

"Alhamdulillah, dengan bantuan rakan-rakan, proses berjalan lancar, tapi tahun ini nampaknya lebih ringan sebab seekor saja," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2020 @ 12:12 PM