GAMBAR hiasan. FOTO Danial Saad.
GAMBAR hiasan. FOTO Danial Saad.
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Pengurusan masjid dan surau yang mengendalikan gerobok rezeki disarankan memberi bantuan kepada masyarakat tanpa mengira kaum dan anak kariah di kawasan mereka.

Ia berikutan keperluan masyarakat pada masa ini yang sedang berdepan dengan detik sukar dan terjejas pendapatan berikutan pandemik Covid-19.

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang selaku Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, inisiatif gerobok rezeki bukanlah di bawah kelolaan kerajaan negeri atau agensi tertentu.

Sebaliknya, Ahmad Zakiyuddin berkata, ia dilakukan mengikut muafakat di bawah pihak pengurusan masjid atau surau berkenaan.

"Ada antara pihak pengurusan yang menetapkan polisi bagi mendahulukan keperluan anak kariah dan ada pula yang sebaliknya.

"Namun, kita sarankan pada masa ini pihak pengurusan mempunyai budi bicara supaya berkongsi gerobok rezeki atau sebarang bantuan kepada yang benar-benar memerlukan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ahmad Zakiyuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian tular mengenai dakwaan seorang wanita bersama suami dan dua anaknya, meminta sumbangan gerobok rezeki di sebuah masjid di sini.

Wanita terbabit mendakwa kesal kerana pihak pengurusan masjid itu mengatakan sumbangan gerobok rezeki berkenaan hanya terbuka kepada anak kariah masjid.

Pengurusan masjid itu turut meminta wanita berkenaan menghubungi Jabatan Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) atau wakil rakyat di kawasan masing-masing bagi urusan bantuan.

Ahmad Zakiyuddin berkata, walaupun dakwaan itu tidak dapat dipastikan kesahihannya, tetapi pihaknya turut kesal jika perkara itu benar-benar berlaku.

"Jika benar, kita amat bersimpati dengan wanita berkenaan dan berharap wanita itu sudah menerima bantuan.

"Perlu dipastikan juga perkara ini tidak berulang lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Julai 2021 @ 6:42 PM