Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Penunggang basikal cedera ringan selepas berlanggar dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard di Jalan Nusa Bukit Tunku, di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, pihaknya mengesan rakaman video tular di media sosial menunjukkan kemalangan membabitkan MPV dan basikal pada jam 9 malam tadi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pada jam 10.11 pagi selepas Toyota Alphard membelok ke simpang kanan dan dilanggar basikal yang sedang menuruni bukit dengan laju.

"Akibat kemalangan remaja berusia 17 tahun mengalami kecederaan ringan manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kedua-dua pihak yang terbabit sudah hadir ke Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee dan kes disiasat mengikut Rule 3(2)(b) LN 166/59 iaitu tidak memberi laluan kepada kenderaan yang berjalan terus sebelum melintas laluan kenderaan itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sarifudin berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan ataupun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

"JSPT Kuala Lumpur juga menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2022 @ 11:21 AM