MANGSA meninggal dunia di lokasi kejadian. FOTO ihsan polis
MANGSA meninggal dunia di lokasi kejadian. FOTO ihsan polis
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Pekerja subkontraktor Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) maut ketika sedang memotong pokok kecil di pembahagi jalan di Jalan Kuching berhampiran Bulatan Kepong, di sini, selepas dirempuh Toyota Sienta, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 3.15 pagi itu, mangsa berusia 74 tahun itu parah di kepala maut dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Toyota Sienta yang dipandu dari arah pusat bandar mengubah haluan ke kanan jalan lalu melanggar kon, lori dan pekerja subkontraktor DBKL.

"Selepas kemalangan itu, pemandu lelaki berusia 24 tahun cuba melarikan diri namun ditahan orang awam berdekatan Taman Wahyu, di sini.

"Suspek direman tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol dan menyebabkan kematian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan ataupun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2022 @ 3:54 PM