DASAR Agro Makanan Negeri Johor yang digubal kerajaan negeri mendorong Johor menjadi hab utama makanan di rantau ini. FOTO Essa Abu Yamin
DASAR Agro Makanan Negeri Johor yang digubal kerajaan negeri mendorong Johor menjadi hab utama makanan di rantau ini. FOTO Essa Abu Yamin
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Johor Tani menjadi agenda pelan transformasi sektor pertanian kerajaan negeri, sekali gus menjadikan Johor sebagai hab utama makanan di rantau ini.

Sebanyak RM51 juta diperuntukkan menerusi Belanjawan Johor 2021, sekali gus menjadi keutamaan besar berbanding sektor lain.

Kerajaan Johor juga menyedari sektor pertanian dan Agro Makanan Johor melalui fasa transformasi pemodenan seiring dengan pengiktirafan negeri ini sebagai nadi pertumbuhan negara.

Dasar berkenaan akan membabitkan pelbagai sektor pertanian, teknologi yang digunakan dan pasaran yang perlu ditambah baik.

Agenda Johor Tani menjadi antara 12 perkara utama dalam Belanjawan Johor 2021 yang turut menggariskan lima inisiatif bagi merealisasikan matlamat dan usaha berkenaan.

Antara inisiatif berkenaan adalah Program Jaminan Bekalan Makanan apabila sektor berkenaan turut diperuntukkan RM6 juta membabitkan kawasan tanaman seluas 2,168 hektar.

Selain itu, RM6 juta diperuntukkan bagi Program Peningkatan Hasil Padi di Luar Jelapang.

Inisiatif lain turut membabitkan penerokaan pasaran baharu, pembangunan usahawan tani dan pemerkasaan industri ternakan daging dan ruminan.

Bagi Mohd Farid Mohd Yusoff, 32, yang mengusahakan ladang nanas di Kampung Belahan Tampok, Rengit, dia menyokong usaha kerajaan negeri untuk menjadi Johor sebagai hab utama pengeluaran makanan membabitkan transformasi sektor pertanian.

"Usaha atau inisiatif berkenaan dilihat mustahak kerana sektor pertanian adalah industri penting seperti yang dapat dilihat dalam situasi pandemik Covid-19 ketika ini.

"Sektor pertanian bukan sahaja memberi jaminan bekalan makanan kepada rakyat tetapi menjamin kestabilan ekonomi pemainnya terutama kepada komuniti petani itu sendiri," katanya.

Mohd Farid berkata, usaha seperti itu amat dinantikan kerana Johor berpotensi menjadi pengeluar makanan khususnya pengeluaran buah-buahan terbesar negara.

"Sebagai pekebun yang mengusahakan ladang buah nanas juga berharap dapat meningkatkan lagi kemampuan untuk mengeluarkan lebih banyak produk tempatan terutamanya buah-buahan pada masa depan.

"Apabila komuniti petani mempunyai bekalan makanan yang mencukupi untuk dipasarkan, maka secara tidak langsung ekonomi komuniti petani atau masyarakat setempat lebih menjadi lebih stabil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2022 @ 7:53 PM