Norzamira Che Noh


Shah Alam: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan memperkasakan koperasi sekolah dalam menanam semangat budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan diminta untuk menggerakkan rancangan itu berikutan budaya serta semangat keusahawanan wajar dipupuk dari peringkat sekolah.

"Koperasi sekolah adalah satu platform yang boleh kita jalinkan kerjasama untuk melahirkan usahawan berikutan kebanyakkan sekolah mempunyai koperasi malah ada yang memperolehi pendapatan sehingga RM1 juta.

"Jadi, kita akan bersama-sama dengan Kementerian Pendidikan serta sekolah menggerakkan atau memperkasakan koperasi sebagai asas untuk kita menanam budaya keusahawanan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Prestij Pembelajaran Negeri Selangor, di sini, hari ini.

TAN Sri Noh Omar pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Prestij 2021 di Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
TAN Sri Noh Omar pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Prestij 2021 di Shah Alam. FOTO Faiz Anuar

Turut hadir, Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Anismah M Noh.

Mengulas lanjut, Noh berkata, sebanyak 2,457 koperasi sekolah direkodkan sehingga kini dengan 1.7 juta ahli dan ia platform terbaik untuk menanam budaya keusahawanan dalam pelajar.

Katanya, sumbangan serta peruntukan tertentu juga boleh disalurkan untuk menggalakkan perkembangan koperasi sekolah.

Beliau berkata, sebelum ini terdapat sumbangan diberikan kepada koperasi yang terjejas akibat pandemik untuk kembali memulakan perniagaan bagaimanapun ia tidak termasuk koperasi sekolah.

"Bagaimanapun, saya akan minta SKM untuk meneliti sumbangan yang boleh diberikan kepada koperasi sekolah yang terjejas berikutan sudah lama tidak beroperasi," katanya.

Terdahulu, MEDAC menerusi Yayasan Bank Rakyat menaja RM300,000 bagi penganjuran program Prestij Pembelajaran Negeri Selangor yang mana setiap Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di negeri ini akan menerima RM30,000 untuk pelaksanaan program berkenaan.

Noh berkata, Prestij adalah program peningkatan akademik yang dilaksanakan di PPD Kuala Selangor bermula 2016 dan menerusi hasil yang cemerlang (peningkatan pelajar lulus Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia) ia wajar diperluas ke PPD yang lain.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 7:32 PM