NAJIB (tengah) hadir untuk perbicaraan kes pecah amanah melibatkan RM6.6 billion di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Fathil Asri
NAJIB (tengah) hadir untuk perbicaraan kes pecah amanah melibatkan RM6.6 billion di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Fathil Asri
Ahmad Johari Mohd Ali

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah supaya dilepas tanpa dibebaskan daripada enam pertuduhan pecah amanah berjumlah RM6.6 bilion.

Najib dan Mohd Irwan membuat permohonan supaya dilepas tanpa dibebaskan dengan alasan pertuduhan itu sudah tergantung terhadap mereka selama tiga tahun setengah tanpa sebarang perbicaraan.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah pada 25 Oktober 2018 terhadap enam pertuduhan pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Dalam penghakimannya pada prosiding hari ini, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin berkata mahkamah memutuskan menolak permohonan itu selepas menimbangkan hujahan peguam bela kedua-dua tertuduh dan hujahan pihak pendakwaan.

Muhammad Jamil berkata, pendakwaan dalam kes itu bersedia dengan pertuduhan, bagaimanapun hanya tarikh perbicaraan belum ditetapkan oleh mahkamah.

Hakim itu menjelaskan, tarikh perbicaraan sebelum ini sudah ditetapkan selama 32 hari sekitar September dan Oktober 2021, bagaimanapun dilapangkan atas permohonan pendakwaan yang tidak dibantah oleh peguam bela.

"Permohonan untuk dilepas tanpa dibebaskan hanya boleh dibenarkan jika pendakwaan tidak berhasrat meneruskan pendakwaan.

"Dalam kes ini, pihak pendakwaan bersedia dengan kes mereka. Hari ini cuma untuk pengurusan kes sahaja dan tarikh perbicaraan belum ditetapkan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi memaklumkan kepada mahkamah bahawa pendakwaan akan memanggil antara 60 hingga 70 saksi untuk memberikan keterangan.

Sehubungan itu Muhammad Jamil menetapkan pada 1 hingga 4 April dan 8 hingga 11 April serta sepanjang Mei tahun depan bagi tarikh perbicaraan.

Hakim itu juga memerintahkan pendakwaan menyerahkan senarai saksi dan dokumen berkaitan kes kepada peguam bela dua minggu sebelum perbicaraan bermula.

Sementara itu, Muhammad Saifuddin membantah permohonan Najib dan Mohd Irwan dengan menyatakan adalah tidak adil bagi pihak mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh dilepas tanpa dibebaskan pada peringkat ini.

Beliau berkata, pihak pendakwaan bersedia menjalankan kes di mana sudah tiga kali serahan dokumen dibuat mengikut Seksyen 51A Kanun Acara Jenayah (KAJ), dan mengikut peruntukan undang-undang mereka boleh mengemukakan dokumen tambahan jika ada, sebelum perbicaraan.

"Pendakwa raya mewakili orang awam yang ingin melihat kes ini untuk dibicarakan, bukan boleh dilepas tanpa dibebaskan begitu sahaja. Kami bersedia untuk membuktikan tuduhan terhadap tertuduh," katanya.

Najib dan Mohd Irwan dituduh melakukan semua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia di Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Datuk K Kumaraendran dalam hujahannya berkata, tuduhan terhadap anak guamnya sudah tergantung selama tiga tahun setengah dan disebut sebanyak 14 kali di mahkamah sejak Oktober 2018.

Kumaraendran berkata, pihaknya tidak meragui mahkamah atau pendakwaan tetapi mereka tidak mendapat tarikh perbicaraan yang sesuai berikutan Najib juga didakwa dengan banyak tuduhan di mahkamah lain.

"Pihak kami mendapat makluman daripada peguam beliau, bahawa tarikh yang masih tersedia hanya pada tahun 2023.

"Jika Yang Arif membenarkan permohonan ini, pihak pendakwaan boleh mengemukakan semula pendakwaan pada bila-bila masa," katanya.

Sementara itu, peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili Najib berhujah, walaupun selepas didakwa empat tahun lalu, kes terhadap anak guamnya masih tergantung dengan perbicaraan belum lagi bermula.

Beliau berkata, pada masa sama proses penyerahan dokumen yang diminta pihaknya daripada pendakwaan mengikut peruntukan Seksyen 51A Kanun Acara Jenayah (KAJ) belum lagi lengkap.

"Dengan itu, kami memohon supaya Yang Arif untuk membenarkan supaya anak guam kami dilepas dan dibebaskan atau dilepas tanpa dibebaskan daripada tuduhan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2022 @ 2:43 PM