Najib Tun Razak (dua kanan) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. FOTO BERNAMA
Najib Tun Razak (dua kanan) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. FOTO BERNAMA
Oleh Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak, mengemukakan representasi kedua supaya Jabatan Peguam Negara (AGC) mengkaji enam pertuduhan pecah amanah harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion yang dihadapinya bersama-sama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Representasi pertama Najib ditolak tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, pihak pendakwaan menerima representasi Najib minggu lalu yang dikemukakan melalui firma guaman yang mewakilinya, Tetuan Shafee & Co.

Katanya, representasi Najib membabitkan jumlah dokuman yang banyak dan sama dengan lampiran dalam representasi kedua yang dikemukakan oleh Mohd Irwan.

Muhammad Saifuddin berkata, pihaknya diarahkan untuk memohon satu lagi tarikh sebutan dalam tempoh dua bulan bagi membolehkan Peguam Negara mempertimbang representasi berkenaan.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Husin kemudian menetapkan 12 September ini untuk sebutan kes bagi memaklumkan perkembangan representasi itu.

Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk status representasi kedua Mohd Irwan yang turut memohon supaya enam pertuduhan itu digugurkan oleh AGC.

Representasiitu dikemukakan pada Mac lalu.

Peguam Datuk K Kumaraendran yang mewakili Mohd Irwan selaku tertuduh kedua tiada bantahan terhadap penangguhan terbabit.

Sementara itu, Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib juga memohon tempoh penangguhan selama dua minggu.

Pada 3 Mac tahun lalu, Hakim Muhammad Jamil menolak permohonan Najib, 70, dan Mohd Irwan, 67, supaya mereka dilepas tanpa dibebaskan daripada semua pertuduhan itu.

Pada 3 April lalu, mahkamah diberitahu, prosiding kes pecah amanah mereka yang sepatutnya bermula pada hari itu, ditangguhkan selepas pendakwaan memaklumkan terdapat perkembangan baharu.

Pada 25 Oktober 2018, Najib dan Mohd Irwan mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah ke atas harta Kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada 'International Petroleum Investment Company' (IPIC).

Kesalahan didakwa dilakukan di Kompleks Kementerian Kewangan di Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 1:38 PM