Penduduk meninjau keadaan di Jambatan Kampung Belanga ditenggelami Sungai Pahi sejak Selasa lalu susulan hujan lebat mengakibatkan paras air meningkat mendadak. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Penduduk meninjau keadaan di Jambatan Kampung Belanga ditenggelami Sungai Pahi sejak Selasa lalu susulan hujan lebat mengakibatkan paras air meningkat mendadak. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


Kuala Krai: Seramai 200 penduduk di dua kampung iaitu Kampung Belanga B dan Kampung Jelutar terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk ke bandar Kuala Krai.

Ia berikutan Jambatan Kampung Belanga ditenggelami banjir disebabkan paras air Sungai Pahi meningkat sejak Selasa lalu.

Penduduk, Ahmad Hidayat Shamsul Kamar, 21, berkata, sudah menjadi kebiasaan apabila hujan berterusan selama tiga jam, ia akan menyebabkan jambatan itu tenggelam.

"Pada Selasa lalu, air sungai melimpah ke tebing dan kedalaman lebih dua meter menyebabkan penduduk di kampung berdekatan terkepung, namun semalam air semakin surut, tetapi Jambatan Kampung Belanga masih tenggelam dan tidak boleh dilalui.

"Walaupun terdapat jalan alternatif, jambatan ini dianggap sebagai laluan utama dan sering digunakan penduduk kampung untuk ke Bandar Kuala Krai kerana menjimatkan masa.

"Jarak perjalanan melalui Batu Mengkebang untuk ke bandar Kuala Krai adalah sejauh 30 kilometer (km) berbanding hanya 10 km jika menggunakan jambatan ini," katanya ketika ditemui di Kampung Belanga.

Bagi pesara kerajaan, Che Abdullah Che Yunus, 65, berkata, air yang melimpah di atas jambatan itu akan surut dalam masa seminggu bergantung kepada keadaan cuaca.

"Apabila jambatan tenggelam, ada antara penduduk terpaksa menggunakan bot enjin galah untuk keluar melakukan urusan masing-masing.

"Justeru, saya berharap pihak berkaitan dapat menaik taraf jambatan konkrit yang sudah lebih 30 tahun digunakan penduduk di kawasan sekitar," katanya.

Manakala Muhamad Alif Irfan Saulina @ Saidi, 19, berkata, sejak jambatan itu ditenggelami banjir dia tidak dapat keluar bekerja di pasar pagi yang terletak di bandar Kuala Krai dan pada masa sama laluan lain di kampungnya turut dinaiki air.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, pihaknya sudah membawa isu itu ke Parlimen dan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama KESEDAR Wilayah Kuala Krai sudah turun melawat jambatan ini.

"Saya berharap permohonan untuk menaiktaraf atau membina jambatan konkrit baharu lebih tinggi mendapat perhatian pihak berkaitan.

"Jambatan ini adalah laluan utama menghubungkan Kampung Belanga dengan Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Temalir dan turut digunakan untuk ke Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pahi dan juga ke bandar Kuala Krai oleh ribuan penduduk sekitar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2023 @ 10:07 AM