GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan sebanyak 3,494 kluster tempat kerja sejak 25 Januari 2020 sehingga 26 Februari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat 26 Februari lalu, sebanyak 133 kluster tempat kerja dilaporkan dan jumlah kluster berkenaan mewakili empat peratus dari keseluruhan kluster tempat kerja dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

"Pada 2022, majoriti kluster tempat kerja adalah dari subkategori sektor pembuatan, diikuti subkategori perkhidmatan dan pentadbiran awam, pertanian, pembinaan, dan perlombongan atau kuari.

"Untuk tahun ini, jumlah kluster tempat kerja tertinggi dilaporkan pada ME 6/2022 dengan 23 kluster diikuti trend penurunan pada ME 7/2022 dan ME 8/2022 dengan 14 kluster dilaporkan pada kedua-dua minggu.

"Secara keseluruhannya, sebanyak 201,281 kes (63 peratus) daripada keseluruhan kluster tempat kerja membabitkan kes warga asing," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, siasatan mendapati sejak 1 Januari 2021 hingga 26 Februari lalu, punca penularan paling tinggi adalah di tempat kerja (56.8 peratus), diikuti asrama pekerja (29.08 peratus), rumah kongsi (13.38 peratus), tempat lain (0.51 peratus) dan rumah sewa (0.23 peratus).

"Risiko jangkitan atau penularan berkemungkinan boleh berlaku dalam kalangan komuniti dan seterusnya merebak di tempat kerja, begitu juga sebaliknya iaitu boleh menular dari tempat kerja ke dalam kalangan komuniti.

"Hasil siasatan mendapati, risiko utama adalah disebabkan oleh aktiviti rutin dan aktiviti bukan rutin.

"Aktiviti rutin itu merangkumi pengangkutan pergi dan pulang dari tempat kerja serta risiko di tempat kerja seperti di ruangan parkir, laluan masuk, stesen kerja, kantin, pantri, tandas, ruang rehat dan surau.

"Bagi aktiviti bukan rutin pula adalah mesyuarat, latihan, perhimpunan, majlis sosial, dan aktiviti bersukan. Punca utama jangkitan adalah ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) semasa pergaulan di tempat kerja dan di luar waktu kerja terutamanya sewaktu di asrama atau hostel pekerja serta di rumah sewa pekerja atau semasa dalam pengangkutan pekerja," katanya.

Selain itu, beliau berkata, punca penularan Covid-19 di tempat kerja juga kerana amalan pemakaian pelitup muka semasa berada di tempat kerja dan asrama masih belum di tahap optimum.

"Ia juga disebabkan pergerakan pekerja yang bebas semasa berada di tempat kerja dan asrama pekerja serta pergaulan rapat semasa pekerja berada di asrama serta tiada penjarakan fizikal semasa aktiviti kerohanian khususnya di surau.

"Selain itu, terdapat individu bergejala lewat dikesan apabila pekerja tidak memaklumkan kepada penyelia ketika mula bergejala, atau pihak atasan bergejala tetapi masih hadir ke tempat kerja menyebabkan jangkitan kepada pekerja serta kakitangan lain.

"Pekerja yang dikuarantin di asrama atau rumah sewa pekerja masih gagal mematuhi arahan kuarantin.

"Punca lain ialah ruangan tumpuan pekerja sangat sempit dan tidak dilakukan disinfeksi secara berkala serta sistem pengudaraan yang tidak mencukupi seperti tiada kipas ekzos bagi bilik penghawa dingin, tingkap di tempat kerja dan asrama pekerja," katanya.

Berikutan itu, beberapa penambahbaikan dicadangkan kepada pihak majikan iaitu perlu ada penyeliaan yang ketat dalam pematuhan SOP di tempat kerja, sistem masuk kerja secara berperingkat bagi mengurangkan kesesakan dan waktu rehat berperingkat.

"Membuat pemasangan penanda di lantai bagi memastikan terdapat penjarakan sosial, memberikan latihan berkala kepada pekerja dan menjalinkan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi penyampaian maklumat dan komunikasi risiko yang berkesan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2022 @ 12:56 PM