KEADAAN rakyat Ukraine yang melarikan diri ke sempadan Poland. FOTO REUTERS
KEADAAN rakyat Ukraine yang melarikan diri ke sempadan Poland. FOTO REUTERS
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sudah memastikan seorang penuntut Malaysia yang berada di Universiti Lviv, Ukraine dalam keadaan selamat dan kini ditempatkan di Kedutaan Malaysia di Warsaw, Poland.

KPT dalam kenyataannya berkata, kesemua rakyat Malaysia yang berada di kedutaan itu akan dibawa pulang ke Malaysia dalam waktu yang terdekat.

"Dalam pada itu, penuntut Malaysia di Rusia akan terus berada di universiti masing-masing memandangkan jarak universiti agak jauh dengan kawasan bergolak.

"Pihak KPT melalui pejabat Education Malaysia di London (EML) akan terus memantau perkembangan terkini konflik ini bagi memastikan keselamatan penuntut kita terjaga.

"Selain itu KPT akan sentiasa berhubung dengan Kedutaan Malaysia di negara terbabit bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai situasi semasa dan tindakan lanjut yang perlu diambil," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, KPT berkata, penuntut dan ibu bapa yang mempunyai sebarang pertanyaan berhubung perkara ini boleh menghubungi Encik Lukman Zulkifly di EML di talian 00442079851251 atau Bilik Gerakan KPT di talian 03-8870 6777/6949/6623/6628.

Terdahulu, pada 24 Februari lalu, Presiden Rusia Vladimir Putin, mengarahkan pencerobohan ke atas Ukraine dan menyifatkan ia sebagai 'Operasi Ketenteraan Khas' yang bukan bertujuan untuk menakluki negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Februari 2022 @ 4:46 PM