GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 23 Disember lalu meluluskan cadangan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk membenarkan pelajar tempatan institusi pendidikan tinggi (IPT) kembali ke kampus masing-masing secara berfasa seawal 1 Mac 2021.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata bagi pelajar dari zon merah, kemasukan adalah 10 hari lebih awal untuk menjalani proses pengasingan demi memastikan mereka bebas Covid-19.

"Sementara itu, bagi IPT yang terletak di Sabah dan Sarawak, kemasukan pelajar tertakluk kepada prosedur yang diguna pakai oleh kerajaan negeri masing-masing," menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata keputusan membenarkan kemasukan ke IPT secara fizikal adalah bagi membolehkan pelajar tempatan serta antarabangsa mengikuti aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara hibrid iaitu secara bersemuka dan dalam talian.

Katanya keputusan itu juga selari dengan hasrat kerajaan untuk memastikan kualiti pendidikan tinggi negara terjamin.

Noraini berkata KPT menyeru agar pelaksanaan aktiviti akademik di kampus dijalankan dengan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan mengutamakan langkah keselamatan selain mengamalkan pembudayaan kebiasaan baharu seperti sentiasa memakai pelitup muka, menggunakan cecair pembasmi kuman dan menjaga penjarakan fizikal.

Beliau berkata MKN juga telah meluluskan cadangan KPT untuk membenarkan kemasukan semua pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu di institusi pengajian tinggi awam dan swasta kecuali dari United Kingdom seawal 1 Januari 2021.

Katanya pelajar terbabit perlu memenuhi syarat kuarantin wajib selama 10 hari sebelum masuk ke kampus.

Para pelajar boleh menghubungi bilik gerakan Covid-19 KPT yang dibuka 24 jam di talian 03-8870 6777/6949/6623/6124, melayari laman sesawang IPT atau terus menghubungi IPT masing-masing bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai tarikh dan jadual kemasukan mereka.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2020 @ 6:54 PM