GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Aktiviti pengajaran dan pembelajaran penuntut baharu bagi program Asasi dan Diploma untuk Sesi Akademik 2021/2022 akan dijalankan sepenuhnya secara dalam talian bermula bulan depan.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan hari ini, berkata keputusan itu dibuat dengan mengambil kira situasi semasa dalam negara.

Kenyataan itu menyebut, kementerian itu komited dalam menjayakan aspirasi Kerajaan semasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi menangani penularan wabak Covid-19. "Bagaimanapun, Universiti Awam (UA) boleh mempertimbangkan kemasukan penuntut Asasi dan Diploma ke kampus secara fizikal bermula pada Oktober 2021 atau pada semester berikutnya, bergantung kepada kesediaan dan ketetapan UA masing-masing," katanya.

Menurut kenyataan itu, penuntut dan ibu bapa yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Bilik Gerakan Covid-19 KPT yang dibuka 24 jam di talian 03-8870 6777/6949/ 6623/6628, melayari laman sesawang Institusi Pengajian Tinggi (IPT) atau terus menghubungi Pegawai Penyelaras di IPT masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 7:32 PM