KEADAAN banjir di Queensland. FOTO EPA
KEADAAN banjir di Queensland. FOTO EPA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pelajar Malaysia yang terjejas teruk akibat banjir di Queensland, Australia sejak beberapa hari lalu, berada dalam keadaan selamat dan sudah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

Kementerian Pengajian Tinggi dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelajar terbabit dipindahkan dengan bantuan pihak berkuasa tempatan, pelajar-pelajar dan rakyat Malaysia berstatus penduduk tetap (PR) yang tinggal di Queensland.

Katanya, urusan perpindahan dan kebajikan pelajar terbabit dilaksanakan dengan koordinasi bersama agensi lain termasuk Pejabat MARA Australia, Pejabat Pendidikan dan Latihan New Zealand, Pejabat Malawakil Canberra, wakil penaja iaitu Petronas dan Kementerian Pendidikan Malaysia serta Persatuan Pelajar Malaysia-MASCA National dan MASCA Queensland.

Selain itu, pejabat Education Malaysia Australia (EMA) sedang memantau situasi banjir itu dan menasihatkan pelajar lain yang terjejas supaya berpindah ke pusat pemindahan sementara memandangkan kemungkinan berlaku bekalan elektrik dan air akan diputuskan.

"Ia juga bagi memudahkan pemantauan dan koordinasi oleh pihak berkuasa serta Pejabat Malawakil Canberra," demikian menurut kenyataan itu di sini, hari ini.

KPT sentiasa berhubung dengan pihak EMA dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Canberra bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai situasi semasa dan tindakan lanjut yang perlu diambil.

Para pelajar dan ibu bapa yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai perkara tersebut boleh menghubungi EMA di talian +61 484 570 400 (Muhammad Afiq) atau +61 420 201 781 (Kartini) atau Bilik Gerakan KPT di talian 03-88706777/6949/6623/6628.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 1:32 PM