Siti Rohana Idris


Tumpat: Lebih 3,000 penduduk di 11 kampung di delta Sungai Kelantan, di sini, terputus bekalan elektrik sejak tengah malam tadi selepas tiang kabel elektrik tumbang dilanggar kapal pengorek pasir.

Kejadian disedari penduduk pada jam 12 tengah malam apabila kediaman mereka tiba-tiba bergelap sebelum dimaklumkan tiang elektrik dilanggar kapal pengorek pasir yang hanyut.

Penghulu Mukim Pulau Seratus, Che Dir Che Hamid berkata, kapal pengorek pasir itu hanyut kira-kira dua kilometer dari lokasinya iaitu di Kampung Pasir Pekan sebelum dibawa arus sungai deras dan melanggar tiang elektrik di tebing sungai Kampung Pulau Beluru.

"Biasanya apabila sesuatu benda berat hanyut, ia akan terus menuju ke laut tapi disebabkan ada pertembungan antara fenomena air pasang serta arus deras, kapal itu hanyut dengan laju.

CHE Dir menunjukkan tiang kabel elektrik di Kampung Pulau Beluru yang tumbang dirempuh kapal pengorek pasir. FOTO Siti Rohana Idris
CHE Dir menunjukkan tiang kabel elektrik di Kampung Pulau Beluru yang tumbang dirempuh kapal pengorek pasir. FOTO Siti Rohana Idris

"Sebaik tiba di Pulau Beluru, ia terus melanggar tiang elektrik sehingga tumbang menyebabkan kami semua terputus bekalan elektrik," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Che Dir berkata, sebaik mengetahui punca bekalan elektrik terputus, penduduk kampung segera ke tanah besar untuk mencari lilin.

Katanya, bekalan lilin dibeli dalam kuantiti yang banyak kerana mereka difahamkan keadaan tanpa elektrik itu akan dialami dalam tempoh lama.

"Saya mengharapkan agar pihak berwajib dapat memikirkan inisiatif lain sementara menunggu penyelesaian sepenuhnya dibuat kerana bekalan elektrik sangat diperlukan oleh kami.

"Kami difahamkan ia memakan masa dan sudah pasti memberi masalah terutama bagi yang mempunyai bayi dan warga emas serta peniaga yang perlu menyimpan jualan dalam peti sejuk," katanya.

Sementara itu, Ketua Jajahan Tumpat, Rusydee Abdullah berkata, pihaknya sudah berhubung dengan wakil Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan perkara itu dalam perhatian.

"Kami akan berbincang dengan kerajaan negeri untuk mencari penyelesaian sementara sama ada menyediakan set generator atau menggunakan saluran (elektrik) dari mana-mana punca bekalan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Februari 2022 @ 6:37 PM