ANTARA penduduk yang berpindah dan mengangkat barang-barang keperluan ke tempat yang selamat di Pasir Mas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ANTARA penduduk yang berpindah dan mengangkat barang-barang keperluan ke tempat yang selamat di Pasir Mas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan meminta bantuan daripada bomba negeri lain bagi membantu mangsa yang terjejas banjir di negeri itu untuk berpindah.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Zainal Madasin berkata, bantuan daripada bomba negeri lain termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan negeri yang tidak dilanda banjir diperlukan memandangkan jumlah mangsa meningkat mendadak.

Katanya, ada anggota termasuk pegawai yang sudah sampai di negeri ini dan ada juga dalam perjalanan untuk memberi bantuan kepada mangsa.

"Bagi bomba Kelantan sendiri, kesemua pasukan bomba iaitu 778 orang termasuk pasukan bomba bantuan dikerahkan untuk membantu mangsa.

"Selain itu, kita juga menggerakkan semua aset yang ada iaitu 43 unit bot, 33 kenderaan pacuan empat roda, 42 jentera bomba, 1,252 jaket keselamatan.

"Alhamdulillah, proses pemindahan mangsa setakat ini berjalan dengan lancar," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, keadaan di Kelantan masih terkawal dengan bantuan dan kerjasama pelbagai agensi keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan agensi lain.

Katanya, pihaknya akan membuat rondaan dan pemantauan dari semasa ke semasa untuk memberi bantuan kepada mangsa.

"Bagi mangsa yang terjejas, kita minta mereka segera menghubungi pihak kita atau agensi keselamatan yang lain untuk mendapatkan bantuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Februari 2022 @ 4:37 PM