Keadaan banjir di Kampung Buloh, Setiu. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Keadaan banjir di Kampung Buloh, Setiu. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Zatul Iffah Zolkiply


Setiu: Paras beberapa air sungai di Terengganu terus menunjukkan peningkatan susulan hujan berterusan bermula semalam.

Setakat jam 4 petang, sembilan sungai direkodkan melepasi paras bahaya manakala empat lagi mencatatkan bacaan melepasi paras amaran.

Ia membabitkan tiga sungai di Setiu, Hulu Terengganu (tiga), Besut (dua) serta satu di Kemaman yang kini melepasi paras bahaya.

Di Setiu, ia membabitkan Sungai Nerus di Kampung Langkap dengan bacaan 22.56 meter (m); Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri (9.14 m) dan Sungai Chalok di Jambatan Chalok (10.44 m).

Turut merekodkan bacaan melepasi paras bahaya adalah Sungai Berang di Kampung Menerong (25.11 m), Sungai Peneh di Felda Mengkawang (37.62 m) dan Sungai Telemong di Kuala Ping (20.56 m).

Di Besut, Sungai Besut di Jambatan Keruak dan Sungai Besut di Kampung La masing-masing berada pada paras 37.04m dan 25.10 m serta Sungai Tumpat di Kampung Baru, Kemasik, Kemaman dengan bacaan 2.86 m.

Sementara itu, Sungai Besut di Jambatan Jerteh, Besut yang berada pada paras 8.14 m dan Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu (12.21 m) masing-masing melepasi paras amaran.

Dua lagi sungai yang melepasi paras amaran adalah Sungai Dungun di Jambatan Jerangau, Dungun (11.79 m) dan Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman18.21 m.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2022 @ 5:11 PM