MEGAT Zulkarnain menyerahkan mesin braille kepada Muhammad Afiq Haikal. FOTO Izad Thaqif Hassan.
MEGAT Zulkarnain menyerahkan mesin braille kepada Muhammad Afiq Haikal. FOTO Izad Thaqif Hassan.
Izad Thaqif Hassan


Sungai Petani: "Alhamdulillah selepas 10 tahun menggunakan mesin Braille terpakai, anak saya akhirnya terima mesin baharu yang lebih elok," kata ibu tunggal, Nornadia Mohamad Ghazali, 42.

Nornadia adalah ibu kepada qari remaja kurang upaya penglihatan, Muhammad Afiq Haikal Norazizi, 14, yang menerima bantuan sumbangan Yayasan Bank Rakyat (YBR).

Beliau berkata, anaknya yang dipanggil Haikal teruja dan seronok menerima sumbangan berkenaan kerana selama ini hanya menggunakan mesin Braille yang dipinjamkan pihak sekolah kepadanya.

"Sebelum ini Haikal guna mesin Braille terpakai sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kira-kira 10 tahun lalu, namun mesin itu sudah dua kali rosak.

"Mesin Braille itu juga susah dibaiki selain alat gantinya sukar dicari. Jadi sumbangan ini amat bermakna kerana untuk membelinya memerlukan kos agak tinggi berikutan harganya lebih RM4,000," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sumbangan Bantuan Persekolahan YBR di sini, hari ini.

Pada 2016, Haikal pernah menyertai program realiti keagamaan kanak-kanak, Qari Junior dan mencuri perhatian kerana keistimewaan dirinya.

Terbaharu, Haikal dipilih sebagai Johan Hafazan Karnival e-Mahabbah Pendidikan Khas Peringkat Kebangsaan 2021, selain mendapat tempat pertama nyanyian solo Pertandingan Virtual Run dan e-Kesenian Olimpik Khas Negeri Kedah 2021.

Sementara itu, Pengerusi YBR, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, pihaknya terpanggil menyumbang mesin braille bernilai RM4,380 kepada Haikal selepas menerima permohonan Nornadia tahun lalu.

"Sumbangan ini diharap dapat mengurangkan beban yang ditanggung keluarga Haikal selain memudahkan remaja itu untuk mengulang kaji dan belajar lebih selesa.

"Kita juga berharap sumbangan ini dapat membantu meningkatkan tahap pendidikan Haikal pada masa hadapan," katanya.

Pada majlis itu, YBR turut menyumbangkan RM315,000 bagi bantuan persekolahan kepada 3,150 pelajar golongan B40 di Kedah, Pulau Pinang dan Perak sempena pembukaan semula sesi persekolahan bulan hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Februari 2022 @ 8:37 PM