SEBANYAK 183 saman dikeluarkan terhadap 72 kenderaan dan 80 individu yang diperiksa dalam Op Samseng Jalanan di Kuching malam tadi. FOTO Mohd Roji Kawi
SEBANYAK 183 saman dikeluarkan terhadap 72 kenderaan dan 80 individu yang diperiksa dalam Op Samseng Jalanan di Kuching malam tadi. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi


Kuching: Tiga remaja yang menunggang motosikal secara berbahaya menerima padah apabila ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman Yakub di sini, malam tadi.

Dalam operasi yang bermula 8.30 malam itu, ketiga-tiga remaja berusia 17 hingga 19 tahun dikesan menunggang dalam keadaan berbahaya apabila melakukan aksi 'Superman'.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, kesemua suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, jika sabit kesalahan kerana memandu atau menunggang secara melulu suspek boleh didenda antara RM5,000 hingga RM15,000 dan penjara tidak kurang lima tahun serta hilang kelayakan memiliki lesen sehingga lima tahun.

"Dalam operasi itu, tiga remaja terbabit dikesan melakukan aksi meniaran dengan kedua kaki lurus ke belakang sambil menunggang dengan laju.

"Aksi itu amat membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahsmon berkata, Op Samseng Jalanan itu dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuching bersama Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kuching serta Balai Polis Gita membabitkan seramai dua pegawai dan 51 anggota.

Menurutnya, sebanyak 72 kenderaan dan 80 individu diperiksa dalam operasi itu.

"Sebanyak 183 saman dikeluarkan iaitu 16 saman kerana tiada lesen memandu, 28 saman tiada nombor pendaftaran hadapan, 15 saman kerana nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan, 12 tiada perlindungan insurans, 15 tidak mempamer cukai jalan, 17 cukai jalan tamat tempoh,15 lampu brek tidak berfungsi dan 28 saman kerana ubah suai ekzos.

"Polis turut mengeluarkan 16 saman kerana mengubah suai struktur peralatan kenderaan, tiga saman kerana hon tidak berfungsi, 15 tiada cermin sisi dan tiga lagi kerana brek tidak berfungsi dengan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Februari 2022 @ 3:22 PM