SEBAHAGIAN penunggang motosikal yang ditahan dalam  operasi polis trafik di Jalan Kuantan-Pintasan Pelabuhan, semalam.
SEBAHAGIAN penunggang motosikal yang ditahan dalam operasi polis trafik di Jalan Kuantan-Pintasan Pelabuhan, semalam.
HM Digital

Kuantan: Berlumba sambil membonceng ‘cikaro’ sebelum ditahan polis di Jalan Kuantan-Pintasan Pelabuhan hadapan Terminal Sentral Kuantan (TSK) di sini, semalam.

Itu tindakan berani dua samseng jalanan yang masing-masing membonceng dua gadis ketika berlumba sesama sendiri untuk menguji kelajuan motosikal masing-masing.

Serbuan itu dilakukan pada jam 4.30 pagi oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dengan kerjasama Balai Polis Trafik Kuantan.

Difahamkan, dua samseng jalanan itu berusia 16 dan 24 tahun sengaja menyertai tiga kumpulan lain yang sedang berlumba.

Dua samseng jalanan itu bersama pembonceng masing-masing berusia 14 dan 17 tahun turut membongkokkan badan dan menunduk kepala ketika berada di kelajuan 140 kilometer sejam.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, polis mengambil masa untuk mengejar dan menahan dua samseng jalanan itu bagi mengelak berlaku pelanggaran sesama sendiri.

“Siasatan awal mendapati dua remaja bawah umur yang ditahan itu sudah tidak bersekolah dan keluar bersama teman masing-masing untuk berseronok.

“Kita sudah memaklumkan kepada keluarga masing-masing berhubung tindakan mereka ini,” katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, polis turut memberi tumpuan dua lokasi litar haram di bandar itu iaitu Jalan Sekilau-Lim Hoe Lek, Jalan Tanjung Lumpur dan menahan tiga lagi samseng jalanan.

Katanya, dalam operasi itu, polis mengeluarkan 69 saman membabitkan pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan mengubah suai ekzos.

Mohamad Noor berkata, polis membuka dua kertas siasatan mengikut Seksyen 60(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana pengubahsuaian struktur terhadap 12 motosikal yang disita.

“Samseng jalanan yang ditahan ini akan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana melakukan kesalahan menunggang dalam keadaan melulu dan berbahaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 11:39 AM