Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kegiatan suami isteri yang dipercayai memproses dan mengedar ganja terbongkar dalam serbuan berasingan di sekitar ibu kota ini pada kelmarin dan semalam.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman berkata, pihaknya membuat serbuan Operasi Arlene itu bermula 7.50 malam kelmarin hingga 5.40 petang semalam hasil risikan dilakukan sejak dua bulan lalu sebelum merampas 244 ketulan mampat ganja bernilai RM605,000.

"Dalam serbuan ini, kami menahan sepasang suami isteri tempatan masing-masing berusia 27 dan 29 tahun di kawasan parkir di sekitar ibu negara dan menemukan 10 ketulan mampat ganja seberat 10 kilogram (kg) dalam kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger.

"Hasil soal siasat dilakukan, kami membuat serbuan kedua di kediaman mereka di sebuah pangsapuri di sekitar ibu negara yang membawa kepada penemuan 234 ketulan mampat ganja seberat 232 kg di dalam rumah berkenaan.

"Kami turut menemukan beberapa peralatan dipercayai digunakan suspek bagi memproses dadah berkenaan termasuk mesin pengisar dan bungkusan mengandungi bahan memproses dadah," pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Yahaya berkata, secara keseluruhan, pihaknya merampas 244 ketulan mampat ganja seberat 242 kg dianggarkan bernilai RM605,000 yang boleh menampung 484,120 penagih dadah.

Katanya, keseluruhan rampasan termasuk kenderaan pacuan empat roda serta beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk memproses dadah berjumlah RM740,000.

"Modus operandi suami isteri ini adalah menjual dadah berkenaan secara dalam talian. Apabila mereka yakin dengan pelanggan berkenaan benar-benar 'genuine' (tulen), barulah suspek akan menghantar sendiri bekalan berkenaan yang diproses suspek di rumahnya.

"Kami percaya bekalan dadah berkenaan adalah untuk pasaran di sekitar ibu kota ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti dari mana suspek memperoleh sumber (ganja) berkenaan," katanya.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing dilakukan mendapati suspek lelaki positif dadah jenis ganja, manakala suspek wanita pula negatif dadah.

"Semakan dilakukan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah. Mereka kini direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 24 Februari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Polis Kuala Lumpur khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) sentiasa berusaha membanteras aktiviti pengedaran dadah dengan menjalankan tindakan proaktif termasuk siasatan, risikan serta maklumat daripada orang awam," katanya.

Yahaya menunjukkan ganja yang dirampas dalam serbuan OP Arlene pada sidang media di IPK Kuala Lumpur. FOTO FATHIL ASRI.
Yahaya menunjukkan ganja yang dirampas dalam serbuan OP Arlene pada sidang media di IPK Kuala Lumpur. FOTO FATHIL ASRI.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Februari 2022 @ 4:33 PM