Norzamira Che Noh


KOPERAL tentera antara lima individu yang ditahan bersama 30 kilogram ketulan mampat disyaki ganja dalam serbuan di tempat letak kenderaan sebuah pasar raya di Kelana Jaya pada 27 Ogos lalu.

Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Superintendan Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, serbuan pada 4.30 petang itu dilakukan hasil risikan dan maklumat awam.

"Anggota tentera berusia 32 tahun ditahan bersama seorang lelaki dalam kereta yang turut mempunyai dua kotak mengandungi 30 ketulan mampat dibalut plastik lutsinar disyaki ganja seberat 30 kilogram bernilai RM75,000.

"Sementara tiga lelaki ditahan dalam sebuah kereta lain. Kita percaya kumpulan ini mahu berjumpa untuk mengagihkan ganja berkenaan," katanya pada sidang media di IPK Selangor, hari ini.

Abdul Latif berkata, empat suspek yang ditahan berusia 24 hingga 27 tahun itu adalah rakan sekampung anggota tentera berkenaan.

ABDUL Latiff (tengah) menunjukkan dadah jenis ganja yang dirampas. FOTO Faiz Anuar.
ABDUL Latiff (tengah) menunjukkan dadah jenis ganja yang dirampas. FOTO Faiz Anuar.

Menurutnya, ujian saringan air kencing dilakukan mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine, manakala anggota itu dan seorang rakannya negatif.

"Kita percaya sindiket dadah ini sudah beroperasi selama enam bulan dan ganja berkenaan diperoleh dari pantai timur untuk pasaran di Lembah Klang.

"Dengan jumlah ganja itu boleh digunakan 60,000 penagih sehari," katanya.

Semua suspek ditahan reman tujuh hari hingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2020 @ 6:06 PM