Kelibat suspek dirakam CCTV dalam kejadian samun sebuah kedai serbaneka di Kelana Jaya, Isnin lalu. Foto ihsan PDRM
Kelibat suspek dirakam CCTV dalam kejadian samun sebuah kedai serbaneka di Kelana Jaya, Isnin lalu. Foto ihsan PDRM
Amir Abd Hamid

Petaling Jaya: Polis percaya dapat menyelesaikan tiga kes samun kedai serbaneka di sekitar Kelana Jaya di sini, dengan penahanan dua lelaki semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, kedua suspek berkenaan masing-masing berusia 23 dan 34 tahun ditahan berasingan oleh pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sekitar Kelana Jaya dan ibu negara.

"Tangkapan itu dibuat hasil siasatan terhadap satu kejadian samun kedai serbaneka yang berlaku di Kelana Jaya pada Isnin lalu.

"Dalam kejadian pada 1.30 tengah hari itu, suspek yang bersenjatakan pisau berpura-pura menjadi pelanggan.

"Ketika di kaunter bayaran, seorang daripada suspek mengacukan pisau kepada penjaga kaunter dan mengarahkannya menyerahkan wang yang ada dalam mesin tunai.

"Mangsa yang bimbang dengan keselamatan dirinya, menyerahkan wang tunai RM500 sebelum kedua-dua suspek melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa yang juga seorang wanita berusia lingkungan 40 tahun kemudiannya membuat satu laporan polis pada 3.30 petang hari kejadian.

Katanya, hasil pemeriksaan terhadap suspek, polis merampas pakaian serta sebilah pisau yang dipercayai digunakan semasa melakukan samun.

"Semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau serta rekod kes penyalahgunaan dadah," katanya.

Beliau berkata, suspek direman lima hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 serta Seksyen 397 Kanun Keseksaan iaitu melakukan samun berkawan tanpa senjata api.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Februari 2022 @ 10:21 PM