RAKAMAN kamera litar tertutup menunjukkan dua suspek menyamun kedai  serbaneka. FOTO Ihsan Polis
RAKAMAN kamera litar tertutup menunjukkan dua suspek menyamun kedai serbaneka. FOTO Ihsan Polis
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Petaling Jaya: Dua sahabat tidak sempat berjoli hasil samun kedai serbaneka selepas mereka dicekup polis lapan jam selepas kejadian.

Lelaki berusia 25 hingga 39 tahun itu ditahan polis di kawasan Damansara, di sini, jam 1.30 tengah hari, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, suspek dikesan menyamun kedai serbaneka pada 5 pagi di daerah ini dan melarikan pelbagai rokok dan tunai bernilai RM1,043.

Menurutnya, suspek masuk ke dalam premis berkenaan ketika seorang pekerja berada di kaunter bayaran.

Katanya, bimbang dicederakan, pekerja premis kemudian menyerahkan wang tunai dan rokok sebelum suspek melarikan diri.

"Hasil risikan lanjut sejurus kejadian membawa kepada penahanan suspek pertama di sebuah pangsapuri di Damansara.

"Pandu arah daripada suspek kemudian membawa kepada penahanan suspek kedua di kawasan lain tidak lama selepas itu," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, dalam dua serbuan itu, polis merampas pelbagai barangan yang disamun dan pakaian yang digunakan suspek dalam kejadian.

Katanya, polis turut merampas motosikal, wang tunai RM1,520 selain pisau dan telefon bimbit.

"Polis percaya dengan penahanan suspek, tiga kes samun berkawan kedai serbaneka di sekitar daerah ini berjaya diselesaikan.

"Semua suspek memiliki rekod jenayah lampau termasuk dadah sejak 2012 hingga tahun lalu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan (KK) kerana samun berkawan tanpa senjata api dan polis akan mendapatkan perintah reman suspek di Mahkamah Majistret esok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2022 @ 8:23 PM