Wee Ka Siong
Wee Ka Siong
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Penjualan tiket bas dan penerbangan bagi inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) laluan udara serta darat antara Malaysia dan Singapura dibuka semula sepenuhnya 100 peratus berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, keputusan itu juga adalah berdasarkan penilaian risiko semasa dan persetujuan Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata, inisiatif VTL sudah berjaya meningkatkan jumlah pengendalian penumpang antarabangsa dan seterusnya membantu meningkatkan sektor pelancongan dan ekonomi negara.

"Kementerian Pengangkutan (MOT) ingin memaklumkan penjualan tiket bas dan penerbangan bagi inisiatif VTL antara Malaysia-Singapura (laluan udara dan darat) dibuka semula sepenuhnya, iaitu 100 peratus daripada kapasiti bas dan penerbangan, berkuat kuasa serta-merta," katanya menerusi kenyataan di Facebook (FB), hari ini.

Beliau berkata, sehingga Isnin lalu, seramai 171,583 pengembara daripada Singapura sudah memanfaatkan inisiatif VTL.

Mengenai VTL melalui udara, katanya, penjualan tiket penerbangan akan dibuka dan berkuat kuasa serta-merta untuk perjalanan segera.

"Selain itu, kedua-dua negara juga sedang mengadakan perbincangan lanjut bagi memperluaskan laluan VTL laluan udara ke Pulau Pinang dan Kota Kinabalu untuk dilaksanakan tidak lama lagi.

"Dalam hubungan ini, MOT melalui Malaysia Airports Holdings Berhad sedang menyediakan fasiliti ujian saringan Covid-19 dan kemudahan di lapangan terbang yang berkaitan bagi menyokong pelaksanaan inisiatif itu kelak," katanya.

Sementara itu, berkenaan VTL melalui darat, penjualan tiket bas akan disambung semula berkuat kuasa serta-merta tetapi hanya untuk perjalanan bermula 22 Februari 2022 dan seterusnya.

Wee berkata, diharapkan inisiatif VTL dapat memanfaatkan rakyat serta merancakkan sektor pelancongan dan terus memacu pertumbuhan ekonomi bagi kedua-dua negara.

"Dalam masa sama, semua pihak diingatkan supaya tidak alpa dan leka dalam mematuhi segala peraturan atau prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan demi kebaikan diri serta insan tersayang di sekeliling," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Februari 2022 @ 6:06 PM