GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kira-kira 22,000 hingga 25,000 pengunjung sehari dijangka menggunakan perkhidmatan pengangkutan di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral, susulan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura, mulai esok.

Pengurus Larkin Sentral Mohd Helmi Mohd Affendi berkata, pengurusan terminal itu menjangkakan peningkatan hampir dua kali ganda pengunjung berbanding sebelum pembukaan sempadan.

"Ketika ini jumlah pengunjung di terminal ini antara 10,000 hingga 12,000 sehari dengan pelbagai persediaan termasuk semua kemudahan dalam keadaan sempurna sedang rancak dibuat.

"Penjualan tiket Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) di terminal ini yang berakhir semalam adalah 7,000 tiket sehari namun berikutan sempadan dibuka sepenuhnya esok, kita jangkakan akan berlaku sedikit kesesakan dan pertambahan pengunjung yang ramai," katanya ketika ditemui, hari ini.

Bermula tengah malam ini, Malaysia dan Singapura akan membenarkan semua pengembara yang lengkap divaksinasi untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian Covid-19, termasuk ujian prapelepasan dan semasa ketibaan.

Pada 24 Mac lalu, Malaysia dan Singapura dilaporkan mengumumkan pembukaan semula sempadan darat kedua-dua negara berkuat kuasa 1 April ini dengan sebahagian besar prosedur operasi standard dilonggarkan.

Dalam pada itu, Helmi menasihatkan pengunjung supaya menggunakan aplikasi atau laman web termasuk golarkin.com.my bagi mendapatkan tiket bas sama ada ke Singapura atau destinasi lain.

"Jadi pengunjung tidak perlu lagi beratur dan bersesak di hadapan mesin pembayaran atau kaunter tiket bagi mendapatkan pas penumpang.

"Sebaliknya pengunjung yang membeli tiket secara dalam talian boleh terus masuk ke balai berlepas dengan menunjukkan QR Code menerusi telefon bimbit mereka serta tidak perlu beratur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2022 @ 1:34 PM