Anak Khairy ketika menerima suntikan vaksin Covid-19.
Anak Khairy ketika menerima suntikan vaksin Covid-19.
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: "Walaupun ada yang sebar fitnah anak saya dicucuk angin, semakin ramai ibu bapa yakin dengan vaksin. Jangan kacau orang lain yang nak vaksinkan anak mereka," ciap Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin di Twitternya, hari ini.

Dalam ciapan itu, beliau turut memaklumkan liputan dan pendaftaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) semakin meningkat.

Menurutnya, peningkatan itu jelas menunjukkan semakin ramai ibu bapa berkeyakinan dan mahu memberi perlindungan kepada anak masing-masing.

Dalam pada itu, Khairy turut mengulang ciap satu video menunjukkan penjelasan seorang jururawat yang dikatakan memberi suntikan vaksin 'angin' kepada anaknya seperti tular di media sosial.

Menerusi video berdurasi empat minit tiga saat dimuat naik di Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), wanita itu menjelaskan prosedur menyuntik vaksinasi Covid-19 kepada kanak-kanak termasuk anak Khairy.

"Demi Allah saya tidak ada keluarkan apa-apa vaksin yang tidak masuk kepada badan kanak-kanak (anak Khairy) itu.

"Dia berdiri tepi saya untuk elakkan dia lari dan bergerak, jadi saya pegang satu tangan dan terpaksa dekat dengan dia. Kalau saya tunjukkan secara terus akan nampak jelas jarum dan dia akan takut.

"Jadi saya terpaksa ke bawah sikit (picagari) dan suruh dia kira 1 hingga 10. Selepas nampak dia okey dan tidak bergerak, saya cepat-cepat suntik," katanya.

Katanya, cecair vaksin tidak akan terkeluar daripada picagari sekiranya tidak ditekan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Februari 2022 @ 12:55 PM