GAMBAR HIASAN. FOTO FATHIL ASRI.
GAMBAR HIASAN. FOTO FATHIL ASRI.
Samadi Ahmad

my

Putrajaya: Penternak digesa memaksimumkan kapasiti pengeluaran bekalan ayam dan telur selepas kerajaan bersetuju memberi subsidi dalam usaha mengurangkan beban golongan itu dan menstabilkan bekalan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, semua penternak ayam di seluruh negara yang berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) boleh memohon subsidi khas diumum kerajaan, semalam.

Beliau berkata, mereka boleh berbuat demikian bermula 5 Februari lalu sehingga tamat tempoh inisiatif pada 4 Jun ini.

"Inisiatif ini antara usaha kementerian bagi meringankan beban kewangan ditanggung penternak yang berdepan kos tinggi terutama pembelian makanan dedak ayam.

"MAFI sedang menunggu kelulusan Kementerian Kewangan bagi mekanisme penyaluran subsidi kepada penternak ayam dan pengeluar telur ayam," katanya kepada pemberita pada sidang media Dialog Industri Agromakanan 2022 di kementeriannya, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri 11 MAFI, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid.

Semalam, Ronald Kiandee mengumumkan pemberian subsidi 60 sen sekilogram bagi ayam daging dan lima sen bagi setiap biji telur untuk semua jenis gred iaitu A, B dan C bagi membantu penternak kerana kos makanan.

Subsidi itu akan diadakan selama empat bulan sehingga Jun depan sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 7:06 PM