SANUSI  (kiri) menyampaikan Anugerah Khas Pengarah, Pelajar Terbaik Sijil Vokasional Malaysia KOHOT 2017 kepada Nur Syazwani pada Majlis Graduasi Kolej Vokasional Port Dickson, Port Dickson.
SANUSI (kiri) menyampaikan Anugerah Khas Pengarah, Pelajar Terbaik Sijil Vokasional Malaysia KOHOT 2017 kepada Nur Syazwani pada Majlis Graduasi Kolej Vokasional Port Dickson, Port Dickson.
Mohd Khidir Zakaria


PORT DICKSON: “Saya memilih untuk belajar di Kolej Vokasional selepas tamat peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) kerana tahu bidang kemahiran mempunyai peluang pekerjaan cerah pada masa hadapan.”

Itu kata Nur Syazwani Shaliahafiz, 18, penerima Anugerah Khas Pengarah pada Majlis Graduasi Kolej Vokasional Port Dickson (KVPD), di sini.

Penuntut jurusan Sistem Komputer dan Rangkaian (KSK) itu berkata, dia amat berminat dalam bidang komputer dan yakin KV adalah platform terbaik untuk mendalami kemahiran berkenaan.

“Sebagai anak sulung daripada lima beradik, saya perlu menunjukkan contoh yang baik kepada adik.

“Saya bangga apabila adik perempuan turut memilih KVPD dan belajar jurusan sama,” katanya, semalam.

Nur Syazwani berkata, dia tidak pernah meletakkan sasaran untuk meraih anugerah itu, tetapi sentiasa belajar bersungguh-sungguh sehingga memperoleh gred purata keseluruhan (CGPA) 3.79 Sijil Vokasional Malaysia (SVM).

Lebih terharu apabila bapa, Shaliahafiz Mohd Sahar, 42, dan ibunya, Norazian Abd Hadi, 41, turut naik pentas ketika dia menerima anugerah.

 SANUSI  menyampaikan Anugerah Khas Pengarah, Pelajar Terbaik Sijil Vokasional Malaysia KOHOT 2016  kepada Muhammad Amirul.
SANUSI menyampaikan Anugerah Khas Pengarah, Pelajar Terbaik Sijil Vokasional Malaysia KOHOT 2016 kepada Muhammad Amirul.

Seorang lagi penerima anugerah sama, Muhammad Amirul Hakeem Mahdzir, 19, berkata, dia memilih bidang komputer kerana bercita-cita mahu menjadi juruanalisis komputer.

“Dunia semakin maju, setiap perkara hanya di hujung jari, jadi saya percaya bidang ini sesuai pada masa depan, kini saya menyambung pelajaran di peringkat diploma dalam jurusan sama di KVPD.

“Anugerah ini menguatkan semangat saya untuk lebih cemerlang,” katanya yang memperoleh CGPA 3.81 dan ditemani bapanya, Mahdzir Abd Latif, 49, dan ibunya, Rusiah Abd Hamid, 46.

Semua anugerah disampaikan Ketua Penolong Pengarah Kemahiran, Sanusi Ahmad.

Turut hadir, Pengarah KVPD, Abdul Razak Ismail dan Timbalan Pengarah KVPD, Norlia Yub Ghazalli.

Seramai 442 penuntut menerima Sijil Vokasional Malaysia (SVM), enam menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan 16 lagi menerima Diploma Kemahiran Malaysia (DKM).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 6:00 AM