FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Beijing: Pengurusan sebuah institusi pendidikan di China menawarkan cuti selama seminggu kepada penuntut kolej mereka untuk mencari cinta.

Menurut notis dikeluarkan 23 Mac lalu, sembilan kolej vokasional dikendalikan Fan Mei Education Group layak menerima manfaat itu.

Kumpulan itu memberitahu, penuntut boleh menikmati cuti seminggu mulai 1 hingga 7 April untuk mencari cinta dan menyelami hati masing-masing.

Kenyataan rasmi dikeluarkan Timbalan Dekan Kolej Vokasional Penerbangan Mianyang, Liang Guohui menyatakan, kolej berkenaan melaksanakan sistem cuti musim bunga dengan harapan penuntut dapat belajar mencintai alam semula jadi, kehidupan dan menikmati cinta.

"Berjalan keluar dari kampus dan berhubung dengan alam semula jadi dan dengan hati anda rasai keindahan musim bunga," kata kenyataan itu.

Walaupun menjadi perkara biasa bagi institusi pendidikan untuk memberi cuti seminggu semasa Musim Bunga, ini adalah kali pertama penekanan khusus untuk jatuh cinta diberikan dalam notis percutian.

Kolej yang memberi cuti itu melatih pekerjaan dalam industri penerbangan seperti juruterbang, pramugari, pengawal trafik udara dan kakitangan keselamatan lapangan terbang.

Pengumuman itu juga dibuat selepas penurunan ketara China dalam kadar kelahiran dan perkahwinan.

Banyak syarikat dan wilayah sedang mencuba sedaya upaya untuk merangka rancangan yang akan menggalakkan orang ramai berkahwin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2023 @ 11:28 AM