Kanak-kanak menerima vaksin COVID-19 ketika Program Imunisasi COVID-19 untuk Kanak-kanak (PICKids) yang berusia antara lima hingga 11 tahun. FOTO FAIZ ANUAR
Kanak-kanak menerima vaksin COVID-19 ketika Program Imunisasi COVID-19 untuk Kanak-kanak (PICKids) yang berusia antara lima hingga 11 tahun. FOTO FAIZ ANUAR
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Kelantan akan memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) untuk kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun di negeri itu pada Ahad depan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) berhubung program berkenaan.

Katanya, suntikan dijangka bermula minggu hadapan di sekolah bagi memudahkan ibu bapa membawa anak-anak mereka untuk mendapatkan suntikan vaksin.

"JPN dalam proses untuk mengedarkan borang kebenaran suntikan vaksin Covid-19 kepada ibu bapa, yang bermula hari ini dan surat itu perlu diisi oleh mereka.

"Mengikut data Jabatan Perangkaan 2021, populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Kelantan adalah kira-kira 219,000 orang.

"Anggaran kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun mengikut bilangan kohort kelahiran JKNK pula adalah 168,023 orang, manakala mereka berusia lima hingga 12 tahun seramai 197,082 orang.

"Bilangan ini berbeza daripada data yang diperolehi JPN dan data bilangan kelahiran tempatan yang direkodkan oleh JKNK. Bilangan murid berusia tujuh hingga 11 tahun yang berdaftar dengan JPN adalah 114,685 orang," katanya.

Dr Zaini berkata, kanak-kanak yang mempunyai penyakit berisiko tinggi dan komorbid, mereka akan dibuat penilaian kesihatan di hospital-hospital berdekatan sebelum diberi suntikan vaksin.

Menurutnya, ibu bapa boleh mengisi borang yang diedarkan oleh pihak sekolah atau mengisi nama anak di MySejahtera untuk memudahkan urusan pemberian vaksin.

"Ini memandangkan golongan kanak-kanak berisiko untuk mendapat jangkitan Covid-19 kerana mereka terdedah dengan orang ramai ketika di sekolah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Februari 2022 @ 4:49 PM