Oleh Mohd Azam Shah Yaacob


PERANG Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap sindiket perjudian di negara ini menyaksikan seramai 14,759 individu ditahan sejak Januari lalu hingga kelmarin.

Jumlah itu bukan saja membabitkan tangkapan terhadap ‘tahi judi’ sebaliknya pengusaha dan pemilik premis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, tangkapan itu adalah hasil 8,775 serbuan dijalankan PDRM.

Katanya, menerusi serbuan dijalankan, PDRM merampas wang tunai lebih RM3.8 juta dan lebih 10,000 peralatan perjudian.

“Sejak April hingga semalam, kami sudah menahan 278 individu yang bertindak sebagai penganjur perjudian di negara ini mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1957 (POCA).

“Malah, polis sudah mengenal pasti 160 sindiket aktif menjalankan menjalankan aktiviti perjudian seperti loteri awam tanpa lesen, judi catit taruh, judi dalam bangunan, judi tempat bebas, simulator dan atas talian,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman Datuk Rohaimi Md Isa.

PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed. FOTO Azhar Ramli.
PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed. FOTO Azhar Ramli.

Beliau berkata, polis juga sudah berjaya menahan 1,228 warganegara asing yang terbabit sindiket judi antarabangsa dan menjadikan negara ini sebagai pusat panggilan bagi mempromosi kegiatan mereka.

Katanya, wang tunai sebanyak RM42,628 dan 4,683 peralatan turut dirampas.

“Sindiket judi antarabangsa ini mula dikesan beroperasi di negara ini pada penghujung tahun lalu membabitkan sindiket judi dari China dan Indonesia.

“Mereka ini mensasarkan mangsa dari dua negara berkenaan dan menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 5:02 PM