WANG tunai antara barangan yang dirampas polis daripada individu yang ditahan terbabit dalam kegiatan perjudian. FOTO ihsan Polis
WANG tunai antara barangan yang dirampas polis daripada individu yang ditahan terbabit dalam kegiatan perjudian. FOTO ihsan Polis
Mohd Amin Jalil


Seremban: Polis Kontinjen Negeri Sembilan menahan 54 individu kerana terbabit dalam kegiatan berkaitan perjudian di negeri ini dalam tempoh antara 24 Januari lalu hingga semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Muhammad Izzudin Runggai berkata, mereka dikesan terbabit dalam kegiatan loteri awam dan judi dalam bangunan yang menyalahi akta berkaitan judi dalam talian.

Beliau berkata, sepanjang tempoh 10 hari ini, pihaknya melakukan 20 serbuan di seluruh negeri membabitkan empat serbuan judi dalam talian, 11 judi ekor haram dan enam serbuan judi dalam bangunan.

"Selain menahan 54 individu dikaitkan dengan kegiatan judi dan loteri awam tanpa lesen, kami turut merampas wang tunai RM5,598 daripada individu terbabit.

"Polis memandang serius kegiatan perjudian terutama dalam talian kerana ia menggugat ketenteraman masyarakat.

"Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan perjudian terutama judi dalam talian dan akan membanteras kegiatan ini habis-habisan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Februari 2022 @ 2:56 PM